Anda di sini

ESSCom tahan 46 pati menyusup masuk ke Tawau

Advertisement

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang menyelaraskan Operasi Bersepadu Khas di sekitar Batu 8, Jalan Tinagat dekat sini, kelmarin berjaya menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia.

Bertindak atas maklumat orang awam pada jam 9.30 pagi, Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata, sepasukan anggota ESSCom bersama Jabatan Imigresen Tawau menyerbu lokasi yang disyaki menjadi kawasan pendaratan dan PATI bersembunyi.

Daripada 48 PATI yang diperiksa, 46 PATI berusia antara setahun hingga 59 tahun ditahan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki dan 15 wanita dewasa manakala dua kanak-kanak lelaki serta empat kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hazani berkata kesemua yang ditahan itu dipercayai masuk secara haram melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu mengguna kawasan Sungai Nyamuk, Indonesia sebagai tempat persembunyian atau transit sebelum masuk ke negara ini melalui laluan tikus.

Sementara itu, kesemua PATI berkenaan dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Tawau.

ESSCom memerlukan kerjasama dan sokongan orang ramai termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan serta melanggar undang-undang negara.

“ESSCom akan sentiasa melaksanakan operasi seumpama ini terutama Operasi Bersepadu Khas bagi mengekang kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang-barang kawalan dan bersubsidi ke negara jiran,” katanya. — Bernama

Advertisement