Anda di sini

Cabul dan liwat murid sejak 2016, kini perbuatan guru baru terbongkar

Advertisement
Sepasukan polis JSJ Lawas mengambil suspek (tengah) di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu kira-kira jam 7.30 malam pada Sabtu.
Sepasukan polis JSJ Lawas mengambil suspek (tengah) di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu kira-kira pukul 7.30 malam Sabtu.

MIRI: Polis Lawas memberkas seorang guru lelaki pada malam Sabtu bagi membantu siasatan berkenaan kes cabul dan liwat membabitkan lima pelajar lelaki. 

Suspek yang berumur 31 tahun diambil daripada Balai Polis Karamunsing di Kota Kinabalu kira-kira pukul 7.30 malam dan dibawa untuk ditahan bagi membantu siasatan di Balai Polis Lawas pada malam tadi.

Difahamkan, suspek berada di Kota Kinabalu untuk bercuti. 

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata bertindak atas maklumat dan keterangan yang direkodkan daripada mangsa dan pelapor, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lawas pergi ke Kota Kinabalu untuk memberkas suspek.

"Siasatan awal mendapati terdapat lima remaja (kini berusia 13 dan 15 tahun) dicabul dan diliwat suspek ketika masih menuntut di sebuah sekolah rendah di Lawas," katanya kepada Utusan Borneo. 

Dua mangsa dirujuk ke Hospital Lawas bagi menjalani pemeriksaan manakala tiga lagi mangsa diminta memberikan kenyataan untuk direkodkan.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan. 

Utusan Borneo hari ini melaporkan laporan polis dibuat di Balai Polis Lawas semalam membabitkan guru yang kini masih bertugas di sekolah tersebut sejak 2012.

Perbuatan itu dipercayai berlaku sejak 2016 hingga tahun lepas, namun tiada seorang pun mangsa memaklumkan ibu bapa mereka mengenai tindakan guru terbabit.

Sumber menambah, perkara itu hanya terbongkar beberapa hari lalu apabila beberapa mangsa yang kini berada di sekolah menengah mula bercakap dan berkongsi di antara mereka tentang tindakan tidak bermoral guru terbabit ketika mereka masih berada di sekolah rendah.

  • oleh
  • Advertisement