Anda di sini

Air hujan untuk bertahan

Advertisement
AZIZ
AZIZ
 Aziz berpelukan dengan anak-anak, isteri serta ahli keluarga setibanya di Jeti Pangkalan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu di Jepak semalam.
SYUKUR: Aziz berpelukan dengan anak-anak, isteri serta ahli keluarga setibanya di Jeti Pangkalan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu di Jepak semalam.
 Effendy (tiga kanan) bersama pegawai-pegawai PPM Bintulu, JBPM Zon Bintulu dan APM Bintulu pada sidang media semalam.
SIDANG MEDIA: Effendy (tiga kanan) bersama pegawai-pegawai PPM Bintulu, JBPM Zon Bintulu dan APM Bintulu pada sidang media semalam.

BINTULU: “Saya terpaksa minum air hujan yang ditadah  sepanjang saya hanyut di laut untuk terus bertahan,” demikian menurut Aziz Ja’afar Atahar, 69.

Aziz merupakan nelayan yang dilaporkan hilang setelah keluar ke laut di perairan Bintulu berseorangan dengan menaiki bot sekitar jam 7.30 malam 13 Mei lalu.

Hanyut lima hari di laut kerana kerosakan enjin bot sehingga ditemui komuniti nelayan Miri di Kuala Sibuti pada jam 8.15 pagi semalam, Aziz sempat menceritakan pengalamannya ketika ditemui Utusan Borneo setibanya di  Jeti Pangkalan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu di Jepak semalam.

Katanya, beliau ada memberitahu isterinya mengenai hasratnya untuk turun ke laut menangkap ikan pada Isnin lalu sebelum beliau menempuh dugaan hebat tersebut.

Beliau yang berpengalaman lebih 40 tahun sebagai nelayan memberitahu, semuanya dalam keadaan baik semasa memulakan perjalanan dengan enjin bot yang diperiksa juga tiada masalah sehinggalah pada satu ketika enjin tidak begitu kuat berfungsi untuk menggerakkan bot.

“Saya memeriksa ‘bush’ didapati telah longgar dan seterusnya saya menukar kipas enjin sehingga pergerakan bot saya lancar dan bekalan minyak juga masih mencukupi pada masa itu, namun masalah mula timbul apabila saya tidak dapat melihat kawasan daratan.

“Saya mengambil keputuan terus bergerak dengan bot untuk mencari daratan sehinggalah kehabisan minyak tetapi masih juga tidak nampak daratan seolah-olah saya sesat di lautan,” ujarnya.

Aziz berkata, empat malam terakhir di laut dia langsung tidak menjamah makanan selepas bekalan yang dibawa kehabisan, cuma yang tinggal sedikit sagu.

“Saya makan sagu satu sudu sehari sehingga saya berasa amat letih. Ikan-ikan yang ditangkap pula agak banyak, namun semuanya saya buang ke laut sebab tiada ais untuk menyejuknya.

“Saya semakin letih kerana terpaksa menarik sauh seberat 15 kilogram sebanyak 22 kali memandangkan cuaca berkabus, sangat letih untuk tarik sauh ke dalam bot dan buang semula ke laut dan keletihan bertambah perit apabila hujan, angin dan ribut melanda,” katanya.

Mengenai dugaan yang menimpanya, Aziz berkata beliau tidak menjangkakannya berlaku kerana beliau kerap mengikut laluan di kawasan perairan laut Kidurong yang dilalui oleh banyak bot nelayan untuk menangkap ikan.

“Kemungkinan malam itu cuaca kurang baik menyebabkan keadaan tidak diduga tersebut berlaku,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Bintulu Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, mangsa ditemui oleh komuniti nelayan di Kuala Sibuti yang turut bersama-sama dalam usaha mencari awal pagi semalam.

“Daripada siasatan awal, dapati bot mangsa mengalami kerosakan enjin dan telah dihanyut kira-kira 55 batu nautika dari posisi terakhir mangsa dipercayai hilang pada 13 Mei lalu,” ujarnya pada sidang media di jeti tersebut, semalam.

Effendy berkata, mangsa dibawa ke Jeti Polis Marin Kampung Jepak di sini oleh anggota Maritim Malaysia Zon Miri bagi tindakan susulan sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Sehubungan itu, Zullizam Aziz, 36, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) ayahnya.

“Saya amat bersyukur pihak penyelamat membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bantuan komuniti nelayan seluruhnya telah menemui ayah saya dengan selamat,” kata Zullizam.

Zullizam berkata, lima hari hilang dan hanyut di laut adalah satu masa yang lama.

“Berkat doa dan solat hajat syukur alhamdulilah ayah saya ditemui. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak media yang turut menyebarkan

maklumat yang sahih tentang berita ayah saya.

“Saya dan keluarga amat menghargai dengan kesungguhan pasukan penyelamat yang terlibat dalam SAR ini sehingga akhirnya ayah saya dapat ditemui

semula,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement