Anda di sini

Wartawan Mexico ditembak mati, yang kelima tahun ini

Advertisement
 Tompokan darah dilihat di atas lantai di mana Romero telah ditembak mati di Playa del Carmen, negeri Quintana Roo, Mexico kelmarin. — Gambar AFP
DARAH: Tompokan darah dilihat di atas lantai di mana Romero telah ditembak mati di Playa del Carmen, negeri Quintana Roo, Mexico kelmarin. — Gambar AFP

PLAYA DEL CARMEN: Seorang wartawan telah dibunuh di sebuah bandar peranginan di pantai Caribbean Mexico kelmarin selepas menerima ugutan bunuh, kata pihak berkuasa, menambah bahawa dia adalah yang kelima maut pada tahun ini di salah sebuah negara yang paling berbahaya untuk wartawan.

Francisco Romero, yang telah mendaftar dalam program perlindungan kerajaan Mexico untuk wartawan dan aktivis, ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di luar sebuah kelab malam di Playa del Carmen, kampung halamannya, kata pendakwa raya di negeri timur Quintana Roo dan wartawan AFP di tempat kejadian.

Pejabat pendakwa raya negara telah membuka siasatan homisid, menyatakan Romero telah memfailkan aduan pada 12 April mengenai satu ugutan bunuh terhadapnya.

Reporters Without Borders berkata pembunuhan itu secara rasmi menjadikan Mexico sebagai negara paling berbahaya di dunia untuk golongan wartawan pada tahun ini.

Pada tahun lepas, kumpulan pemerhati meletakkan negara tersebut  sebagai ketiga paling berbahaya di dunia bagi media, selepas Afghanistan dan Syria yang dilanda peperangan.

Mexico telah dilanda gelombang keganasan dikaitkan dengan pengedaran dadah dan rasuah politik sejak beberapa tahun ini, dan mengajukan terlalu banyak soalan mengenai jenayah atau rasuah boleh me-ngundang bahaya.

Isteri Romero, Veronica Rodriguez, berkata suami-nya kerap menerima ugutan berhubung dengan kerjanya, yang kadangkala melibatkan pegawai kerajaan dengan cara yang salah.

“Dia telah menerima banyak ugutan. Terlalu banyak ugutan. Pihak berkuasa di Bandar raya Mexico tahu tentangnya,” Rodriguez, 40, memberitahu AFP.

“Yang kali terakhir malah tidak sampai dua minggu lepas. Mereka mengugutnya menyatakan sekiranya dia tidak melakukan apa yang mereka ingini, mereka akan membunuh saya... Mereka kata mereka tahu di mana anak lelaki kami bersekolah, bahawa mereka akan menghumbannya dari sebatang jambatan.”

Rodriguez, yang mempunyai tiga anak – seorang dengan Romero dan dua lagi daripada hubungan lain – enggan men-dedahkan siapa yang membuat ugutan tersebut, menyatakan dia bimbang tentang nyawa-nya.

Reporters Without Borders berkata Romero telah menerima satu panggilan telefon pada jam 5 pagi waktu tempatan memaklumkannya mengenai beberapa berita di sebuah kawasan hiburan malam tempatan dikenali sebagai Gotta Gentleman Club.

Walaupun dia mempunyai empat pengawal peribadi yang disediakan oleh kerajaan, dia telah mengarahkan mereka pulang pada jam 10 malam waktu tempatan pada malam sebelumnya, katanya dalam satu kenyataan.

Romero, yang juga mempunyai satu butang panik bagi memaklumkan pihak berkuasa jika nyawanya berada dalam bahaya, telah pergi tanpa mereka ke kelab tersebut. Mayatnya ditemui di tempat letak kereta kira-kira sejam kemudian.

Beberapa saksi berkata dia telah dipukul dan ditembak sebanyak dua kali di bahagian muka, kata pertubuhan tersebut.

Romero bertugas bagi salah satu akhbar terkemuka di negara, Quintana Roo Hoy, dan mengendalikan sebuah laman berita yang berpusat di Facebook “Ocurrio Aqui” (It Happened Here) yang meliputi politik tempatan dan jenayah serta mempunyai lebih 17,000 pengikut.

Dia telah berada di bawah program perlindungan rasmi untuk wartawan sejak tahun 2018, menurut Balbina Flores, pengarah Reporters Without Borders di Mexico.

Program kerajaan menyediakan pelbagai jenis perlin-dungan kepada wartawan dan aktivis hak asasi manusia yang diancam, meliputi daripada butang panik hingga pengawasan rumah dan pengawal peribadi. — AFP

Advertisement