Anda di sini

'Tiket belon balit' Gawai dan Raya dibiayai kerajaan Sarawak

Advertisement
Abang Johari serta tetamu lain merakam kenangan bersama anak Sarawak yang menyertai Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Sarawak di Kuala Lumpur, semalam.
Abang Johari serta tetamu lain bersama anak Sarawak yang menyertai Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Sarawak di Kuala Lumpur, malam Jumaat.

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk membiayai kos tiket kapal terbang untuk pelajar Sarawak pergi dan balik bagi merayakan sambutan perayaan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

Ia diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Sarawak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari berkata dianggarkan 10,000 pelajar Sarawak kini menyambung pengajian dalam pelbagai jurusan di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di luar Sarawak.

"Seperti mana yang saya janjikan dalam Lan Berambeh tahun lepas, saya akan memberikan bantuan berupa tiket kapal terbang untuk pergi dan balik bagi merayakan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Gawai dan Tahun Baru Cina.

"Tahun Baru Cina sebelum ini, kita telah memberikan bantuan kepada siswa dan siswi untuk pergi dan balik merayakan Tahun Baru Cina sebanyak RM300," katanya.

Beliau pada masa yang sama turut mengumumkan bahawa setiap seorang diperuntukan sebanyak dua kali untuk dibiayai kos tiket kapal terbang.

"Setiap seorang diperuntukan sebanyak RM600 iaitu untuk dua kali. Kenapa dua? Ini kerana, kita di Sarawak ada yang kahwin campur. Mungkin ayahnya Dayak dan ibunya Melayu. Jadi dia merayakan Gawai dan juga merayakan Hari Raya Aidilfitri.

"Juga, mungkin ada ibunya Cina dan ayahnya Melayu. Jadi, kita berikan, dia RM300 untuk pergi dan balik untuk meraikan Tahun Baru Cina dan RM300 lagi untuk dia pergi dan balik meraikan Hari Raya Aidilfitri," jelasnya.

Sehubungan itu, Abang Johari menggesa pelajar-pelajar yang masih belum membuat tempahan tiket kapal terbang untuk balik merayakan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri untuk membuat tempahan segera.

"Bagi mereka yang masih belum membuat tempahan tiket kapal terbang untuk balik merayakan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri, tempahlah sekarang. 

"Beri resit tempahan itu kepada Sarawak Volunteer dan Yayasan Sarawak dan kita akan bayar kepada anda. Pada tahun ini kita dapat membiayai kos penerbangan pelajar-pelajar Sarawak disebabkan ekonomi negeri kita baik, kita hidup bersatu, kita selesa dan ekonomi kita tersusun,” ujarnya.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani serta ahli kabinet negeri yang lain.

Advertisement