Anda di sini

Siap siaga sebarang kemungkinan, kata Shafie

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Bencana Alam di seluruh daerah diarah supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jawatankuasa itu perlu mengambil tindakan segera sekiranya terdapat kawasan yang berpotensi berlaku banjir kilat dan bencana alam yang lain.

"Pastikan semua pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir dalam keadaan sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Jika perlu, pastikan bekalan makanan dan air bersih dan kemudahan asas yang lain sentiasa mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Jelasnya lagi, pihak berkuasa perlu sentiasa bersiap siaga dalam menyalurkan sebarang bantuan kepada mangsa yang dipindahkan, manakala, unit penyelamat harus bersedia untuk digerakkan dalam tempoh pemberitahuan yang singkat.

"Memandangkan sekarang kita mengerjakan ibadat puasa, semua bantuan perlu diberikan secepat mungkin agar tidak memyusahkan mangsa yang terlibat," katanya.

Pada masa sama, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan sistem perparitan di kawasan yang berisiko mengalami banjir kilat tidak tersumbat sebagai langkah pencegahan.

Orang ramai yang tinggal di kawasan tanah rendah dan terdedah kepada bencana alam itu juga dinasihatkan supaya sentiasa berjaga- jaga untuk memudahkan proses perpindahan dapat dilakukan segera.

Terdahulu, Jabatan Cuaca Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan serta ribut petir di kawasan Pantai Barat Sabah dan pedalaman sehingga malam Jumaat.

  • oleh
  • Advertisement