Anda di sini

Najib mahu batal tiga lagi pertuduhan

Advertisement
 Najib ketika keluar dari mahkamah selepas pengurusan kes yang dihadapinya berhubung tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
PERTUDUHAN: Najib ketika keluar dari mahkamah selepas pengurusan kes yang dihadapinya berhubung tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan permohonan bagi membatalkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ketua peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan semasa pengurusan kes semalam.

“Kiranya kami akan membuat permohonan untuk membatalkan tiga pertuduhan itu memandangkan mereka (pasukan pendakwaan) mengusahakan tujuh pertuduhan tetapi tertumpas akhirnya.

“Ia tidak kelihatan seperti mempunyai predikat kesalahan dan berdiri dengan sendiri, itulah sebabnya Timbalan Pendakwa Raya (DPP) memohon satu tarikh perbicaraan yang pendek,” katanya, merujuk kepada tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang dihadapi oleh Najib yang kini memasuki hari ke-18 perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketika membalas, DPP Budiman Lufti Mohamed memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan mengekalkan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta itu adalah sah dan sesuai.

Terdahulu, Budiman memohon tarikh perbicaraan dimulakan seawal April tahun hadapan, tetapi Muhammad Shafee meminta ia dimulakan pada Jun.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk ‘pulih daripada kecederaan’ selepas perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan RM2.28 bilion (yang akan bermula 19 Ogos),” kata Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee juga memohon perbicaraan dikosongkan setiap Jumaat kerana pasukan pembelaan memerlukan masa untuk bersedia bagi kes yang lain.

Sebelum menetapkan tarikh bagi perbicaraan itu, Mohamed Zaini berkata, beliau bimbang jika perbicaraan itu mungkin mengambil masa yang lebih panjang.

“Apa yang membimbangkan saya ialah apabila peguam menyatakan bahawa ia tidak akan mengambil masa yang panjang tetapi bagaimana pula sekiranya perbicaraan itu tidak habis dalam tempoh berkenaan? Jika ia berakhir dalam tempoh 14 hari, itu sudah cukup baik,” katanya.

Hakim itu kemudian menetapkan 2-25 Jun, 2020 untuk perbicaraan.

“Tarikh perbicaraan ialah dari 2-4 Jun, 9-11 Jun, 15-18 Jun, 23-25 Jun. Jumaat kita cuti,” kata Hakim dan menetapkan 21 Jun untuk pengurusan kes.

Pada 3 Febuari tahun ini, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Bekas Perdana Menteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai, 2014, di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa maksimum denda RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau pada awalnya dituduh di Mahkamah Sesyen tetapi kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac selepas dipohon oleh pendakwaraya. — Bernama

Advertisement