Anda di sini

46 PTI ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas

Advertisement
SERAMAI 46 PTI ditahan hasil serbuan Operasi Bersepadu Khas Esscom bersama Imigresen di lokasi yang disyaki tempat pendaratan dan persembunyian PTI.
SERAMAI 46 PTI ditahan hasil serbuan Operasi Bersepadu Khas Esscom bersama Imigresen di lokasi yang disyaki tempat pendaratan dan persembunyian PTI.

TAWAU: Seramai 46 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Batu 8 Jalan Tinagat di sini kira-kira jam 9.30 pagi pada Jumaat.

 Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi terbabit turut disertai sepasukan pegawai Imigresen dan dibuat di lokasi yang disyaki pendaratan dan persembunyian PTI.

 “Daripada 48 orang yang diperiksa, 46 PTI berumur antara 1-59 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, termasuk enam kanak-kanak,” katanya.

 Hazani berkata demikian menerusi kenyataan medianya di sini pada Sabtu, berhubung usaha Esscom bersama jabatan dan agensi kerajaan lain membanteras aktiviti PTI.

Mengulas lanjut, kesemua PTI terbabit dipercayai masuk ke negara ini secara haram menerusi laluan yang tidak diwartakan, iaitu di kawasan Sg Nyamuk Pulau Sebatik.

“Kita percaya mereka menggunakan kawasan Sg Nyamuk sebagai tempat persembunyian atau transit sebelum masuk secara haram ke negara ini melalui laluan-laluan tikus.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Tawau,” katanya.


Beliau berkata, tindakan penahanan kesemua PTI berkenaan juga dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/ 63 (Pindaaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 Menurutnya, Esscom akan terus menggiatkan operasi seumpamanya untuk mengekang dan membendung kegiatan pemerdagangan manusia ataupun penyeludupan barang.

 “Namun, kita memerlukan kerjasama dan sokongan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau melanggar undang-undang kepada kita,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement