Anda di sini

Tiga anggota polis diarah bela diri terima, minta rasuah

Advertisement

KOTA KINABALU: Tiga anggota polis antaranya seorang wanita diperintahkan membela diri mereka atas pertuduhan menerima dan meminta rasuah.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menetapkan tarikh bela diri pada 24 hingga 26 Jun terhadap Elly Boniface Siew, 36, Mohd Faiz Mohd Yusof, 33, dan Liza Ambau, 39.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Elly Boniface sebagai koperal polis di Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik (BSJN) Daerah Penampang, didakwa meminta suapan RM6,000 daripada Wong Kian Shung supaya tidak mengambil tindakan terhadap

Dahlia Andreas yang positif dadah semasa ujian saringan awal air kencing.

Kesalahan itu dilakukan pada 8 April 2016 jam 11 malam hingga jam 12 tengah malam, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Penampang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)2009, dihukum mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan.

Sabit salah boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Mohd Faiz didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (1) Akta SPRM 2009, dihukum mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan, kerana menerima suapan.

Pertama, pada 9 Februari 2016 jam 10 malam, di kawasan parkir Restoran Nikmat, Donggongon, Penampang, tertuduh menerima RM1,000 daripada Zaleha Brahim supaya tidak mengambil tindakan terhadap Rinciah Labih yang positif dadah.

Kedua, pada 10 Februari 2016 antara jam 12 tengah hari hingga jam 7 malam, di tempat sama, tertuduh menerima RM2,000 daripada Zaleha, bagi tujuan sama.

Hukuman yang diperuntukkan penjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau denda RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Ketiga, Mohd Faiz didakwa mengikut Seksyen 16 (1) (b) Akta SPRM 2009, kerana meminta sebanyak RM6,000 daripada Wong, agar tidak mengambil tindakan terhadap Dahlia.

Kesalahan dilakukan pada 8 April 2016 jam 11 malam hingga jam 12 tengah malam, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Penampang.

Liza sebagai koperal polis juga didakwa atas pertuduhan sama, meminta wang sebanyak RM3,000 daripada Wong bagi tujuan sama, pada hari dan di tempat sama.

Mereka yang diwakili peguam Luke Ressa Balang mula didakwa pada 9 Mac 2017 dan mengaku tidak bersalah.

Sepanjang perbicaraan kes pada peringkat pendakwaan seramai 24 saksi dipanggil memberikan keterangan.

Sekarang ini ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 deposit RM5,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan sementara menunggu kes selesai.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basiruddin mewakili pihak pendakwaan.

Advertisement