Anda di sini

Filipina panggil pulang duta dalam perbalahan sampah dengan Kanada

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan aktivis alam sekitar berhimpun di luar Senat Filipina                 di Manila untuk menuntut bertan-tan sampah-sarap dihantar balik ke Kanada. — Gambar AFP
HANTAR BALIK!: Gambar fail menunjukkan aktivis alam sekitar berhimpun di luar Senat Filipina di Manila untuk menuntut bertan-tan sampah-sarap dihantar balik ke Kanada. — Gambar AFP

MANILA: Filipina telah memanggil pulang dutanya ke Kanada, kata menteri luar di Manila semalam, dalam perbalahan diplomatik yang semakin meruncing berhubung bertan-tan sampah-sarap yang dihantar ke negara Asia Tenggara itu.

Hubungan semakin tegang sejak sebuah syarikat di Kanada menghantar kira-kira 100 kontena kapal termasuk sampah reput yang dilabel dengan salah sebagai barang boleh dikitar semula ke pelabuhan Filipina pada 2013 dan 2014.

Manila menetapkan tarikh akhir 15 Mei bagi Kanada untuk membawa balik sampah yang reput, selepas Presiden Rodrigo Duterte memaki hamun Ottawa berhubung isu itu pada bulan lepas.

Sejak itu Kanada telah me-nyatakan ia sedang berusaha untuk membawa balik kontena berkenaan tetapi tidak menyebut bila sebenarnya ia akan berlaku.

Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin berkata surat yang memanggil pulang duta dan konsulnya ke Kanada sudah dihantar dan diplomat terbabit dijangka berada di Manila “dalam masa sehari dua”.

“Kanada gagal menepati tarikh akhir 15 Mei. Dan kita akan memelihara kehadiran diplomatik yang dikurangkan di Kanada sehingga sampah-sarapnya dihantar ke sana dengan kapal,” tulis Locsin dalam Twitter.

Kementerian Luar Kanada tidak menjawab segera permintaan untuk membuat kenyataan.

Sampah berkenaan telah memburukkan hubungan antara kedua-dua negara, yang sudah pun diuji selepas Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mempersoalkan ope-rasi berdarah Duterte dalam usaha membanteras dadah.

Duterte melenting jika ada sebarang kritikan antara-bangsa terhadap dasar utama-nya, yang menyaksikan polis membunuh ribuan orang yang disyaki penagih dan pengedar dadah sejak 2016.

Pada tahun lepas Duterte membatalkan kontrak tentera Filipina bernilai AS$235 juta (RM940 juta) untuk membeli 16 helikopter tentera dari sebuah syarikat pembuatan di Kanada selepas Ottawa me-nyemak semula kontrak itu kerana rekod hak asasi manusia presiden itu yang buruk.

Dalam satu ucapan pada April lalu, Duterte mengugut untuk menghantar balik sampah-sarap berkenaan secara sehala ke Kanada, dan berkata “marilah lawan Kanada. Saya akan mengisytiharkan perang ke atas mereka”.

Duterte kerap mengguna-kan bahasa kesat dan cakap besar dalam ucapan mengenai lawannya.

Ekoran kenyataan itu, Kanada menawarkan untuk membawa balik sampah tersebut dan Filipina berkata Ottawa akan menanggung perbelanja-an bagi pelupusannya.

Biro Kastam di Manila berkata pada minggu lepas, Filipina bersedia untuk menghantar balik sampah-sarap berkenaan tetapi Kanada memerlukan beberapa minggu lagi untuk menyediakan dokumentasi.

Kira-kira 69 kontena kapal yang mengandungi sampah-sarap masih tinggal selepas 34 lagi sudah pun dilupuskan di Filipina, kata kementerian kewangan. — AFP

Advertisement