Anda di sini

Bekas guru besar didakwa membuat tuntutan palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang bekas guru besar didakwa semula di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menggunakan pernyataan palsu untuk mendapatkan tuntutan daripada pusat zakat.

Bagaimanapun Majahil Majingkil, 57, yang dibawa didepan hakim Abu Bakar Manat mengaku tidak bersalah dan tarikh perbicaraan dikekalkan pada 20 hingga 21 Jun.

Tertuduh didakwa memberikan kertas kerja program sambutan Isra' Mikraj kepada penolong setiausaha (Agihan) Pusat Zakat Sabah (Muis), yang mana untuk memperdayakan prinsipalnya.

Majahil mengetahui dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu yang menyatakan program itu sudah dilaksanakan pada 16 Julai 2014 di Sekolah Kebangsaan (SK) Buang Sayang, Kinabatangan daerah Sipitang yang mana sebenarnya tidak.

Kesalahan didapati dilakukan pada Julai 2015 hingga Oktober 2015 di Pusat Zakat Sabah (Majlis Ugama Islam Sabah, Muis) di sini.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Sabit salah boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin menyatakan pada 13 Mei, Mahkamah Sandakan membebaskan tanpa melepaskan tertuduh atas pertuduhan itu.

Namun tertuduh didakwa semula atas pertuduhan sama pada hari ini (Jumaat).

Dalam pada itu peguam Safrin Salleh bertindak untuk peguam Datu Baginda Datu Laja mewakili tertuduh.

Sementara menunggu kes selesai, mahkamah membenarkan melanjutkan ikat jamin terhadap tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement