Anda di sini

Ubah sikap boros dan membazir

Advertisement
 Rakaman gambar ‘silhouette’ seorang lelaki membaca ayat-ayat suci al-Quran ketika tinjauan sempena Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
PERBANYAKAN AMALAN: Rakaman gambar ‘silhouette’ seorang lelaki membaca ayat-ayat suci al-Quran ketika tinjauan sempena Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Boros berbelanja, membazir makanan dan makan secara berlebihan ibarat sudah menjadi kebiasaan setiap kali tibanya bulan Ramadan, bukan sahaja dari segi makanan malah persiapan menyambut Aidilfitri.

Masuk hari ke-10 umat Islam berpuasa, masyarakat terutamanya umat Islam sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan memperbanyakkan amalan selain menjaga kebersihan alam sekitar namun apa yang berlaku adalah lambakan sampah yang meningkat di bulan yang mulia ini.

Dilaporkan penghasilan sampah-sarap meningkat hampir 3,000 tan sehari pada bulan Ramadan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang; iaitu meningkat sebanyak 500 tan sampah sehari berbanding 2,500 tan pada hari biasa.

Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman, sikap dan amalan yang tidak sihat itu boleh diubah agar bulan yang mulia ini dapat disambut dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan.

“Sekarang ini banyak majlis berbuka puasa secara percuma di masjid dan surau, rebut peluang itu kerana selain menjimatkan perbelanjaan, kita juga boleh menambahkan amal ibadat,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Promosi bufet menarik di hotel juga sudah menjadi ‘trend’ setiap kali tiba musim perayaan, tidak terkecuali apabila datangnya Ramadan.

Mohd Yusof berkata pengusaha hotel boleh menetapkan amaran atau garis panduan untuk mengenakan caj sekiranya terdapat lebihan makanan yang tidak sepatutnya atau mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berkata amalan berjimat cermat ini perlu bermula dari institusi kekeluargaan itu sendiri di mana selain mendidik anak-anak untuk tidak bersikap boros, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik.

Katanya, sikap berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran tidak hanya perlu diamalkan pada bulan puasa malah dalam rutin harian setiap masyarakat.

“Usaha ini perlu dijadikan agenda keluarga, komuniti di kampung atau bandar serta negara. Pembaziran bukan sahaja dari segi makanan malah masa dan juga tenaga. Elakkan daripada memasak secara berlebihan di rumah yang akhirnya dibuang begitu sahaja,” jelasnya.

Masyarakat juga diajak untuk membudayakan amalan membawa bekas sendiri ke bazar Ramadan kerana selain mengurangkan penggunaan plastik, ia juga mendidik kita untuk mengawal diri daripada membeli secara berlebihan.

Sikap itu juga mencerminkan imej masyarakat yang pandai berjimat-cermat dan menyayangi alam sekitar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyeru umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan untuk mengawal nafsu dan bukan semata-mata bulan untuk beribadah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula meminta umat Islam memanfaatkan sepenuhnya kedatangan Ramadan dengan menambah amal ibadah.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia Azlin Othman ketika dihubungi berkata budaya membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan merupakan idea yang bagus dan Malaysia mampu menjadi negara ‘bebas plastik’ sekiranya amalan itu diteruskan bukan hanya di bulan Ramadan.

“Budaya ini secara tidak langsung akan dapat menyerap sifat kesedaran ke dalam diri masyarakat kita dalam menjaga alam sekitar yang sihat. Makanan yang masih elok boleh disedekahkan kepada golongan yang memerlukan seperti gelandangan dan asnaf.

Beliau turut menyokong agar suatu akta mengenai pembaziran makanan perlu diwujudkan bagi memantau dan mengelakkan individu atau pengusaha makanan untuk melakukan pembaziran. Penalti yang akan dikenakan menerusi akta tersebut dapat  memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak mengamalkan sikap suka membazir. — Bernama

Advertisement