Anda di sini

Semua bayi anak Sarawak layak mendapat EFS: Fatimah

Advertisement
 Fatimah bersama ibu bapa yang telah memohon EFS sebaik sahaja melahirkan bayi pada 2019.
UNTUK MASA DEPAN: Fatimah bersama ibu bapa yang telah memohon EFS sebaik sahaja melahirkan bayi pada 2019.

MIRI: Semua bayi yang lahir di dalam atau luar Sarawak termasuk bayi hasil perkahwinan tidak sah atau anak luar nikah layak memohon insentif Endowment Fund Sarawak (EFS).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, paling penting salah seorang ibu atau bapa pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus ‘K’.

“Tidak kira sama ada bayi itu hasil perkahwinan sah atau sebaliknya, bayi berkenaan layak memohon insentif EFS sebanyak RM1,000 dan paling penting pemohon memiliki status warganegara Malaysia,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya dan Penyerahan EFS 2019 di Miri semalam.

Fatimah berkata sehingga 25 April lalu, terdapat 11,508 kelahiran dicatatkan di Sarawak yang menyaksikan 10,317 (89.65 peratus) anak Sarawak berstatus ‘K’.

“Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya 5,070 atau 49.14 peratus yang telah berdaftar untuk memohon insentif EFS.

“Bahagian Kuching mencatat jumlah pendaftaran EFS paling tinggi iaitu 1,980, diikuti Sibu (950), Miri (659), Bintulu (267), Sarikei (260), Sri Aman (223), Mukah (201), Limbang (178), Betong (118), Kapit (107), Serian (66) dan Samarahan (61),” jelasnya.

Ditanya mengenai baki selebihnya iaitu 5,247 orang yang belum memohon EFS, Fatimah mengakui kemungkinan ada ibu bapa tidak mengetahui insentif terbabit atau ada yang enggan memohon.

“Borang hanya ditempatkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mac lalu, namun kita dapat lihat hari ini ramai ibu bapa sudah sedar jika mereka mendaftar sijil kelahiran bayi maka mereka juga boleh memohon secara terus EFS,” katanya.

Fatimah memberitahu, masa yang diberikan untuk memohon EFS adalah dalam tempoh setahun selepas bayi dilahirkan dan adalah lebih baik permohonan dibuat lebih awal.

“Ibu bapa yang belum tahu EFS ini boleh mendapatkan borang di JPN dan ia perlu dikembalikan semula untuk proses pendaftaran,” ujarnya.

Mengulas mengenai Sejambak Kasih Fatimah berkata, antara objektif penganjuran majlis berkenaan adalah untuk meringankan beban kewangan selain menceriakan penerima bantuan menjelang sambutan perayaan.

“Malah usaha yang dilaksanakan ini turut membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga yang kurang berkemampuan.

“Penerima hari ini bukan sahaja menerima wang tunai RM100, malah membawa pulang hamper bernilai RM50, sementara yang tidak hadir sumbangan akan dikreditkan ke dalam akaun mereka,” jelasnya.

Ujar Fatimah, seramai 200 penerima sempena Gawai dan Hari Raya Aidilfitri semalam turut menerima sumbangan hamper berjumlah RM150 daripada Hotel Dynasty Miri.

Turut hadir Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Pengarah Urusan Hotel Dynasty Tony Pui, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, ADUN Lambir Ripin Lamat serta tetamu lain.

  • oleh
  • Advertisement