Anda di sini

Rozman positif prestasi kerajaan PH

Advertisement

LABUAN: Walaupun keadaan ekonomi di pulau bebas cukai ini tidak menentu, namun Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli tetap positif bahawa kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan-WARISAN akan menunjukkan prestasi positif dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

Beliau berkata kerajaan pemerintah semasa sedang menyelesaikan pelbagai isu yang melanda negara dalam bidang pembangunan sosioekonomi dan ia tidak akan berhenti mencuba untuk menunaikan janji-janji yang telah dibuatnya demi kesejahteraan rakyat.

“Sebagai MP (Ahli Parlimen) Labuan, saya amat positif dengan kerajaan pemerintah semasa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad… bagaimanapun, beliau memerlukan sokongan daripada para anggota parlimen PH-Warisan bagi menjayakan rancangannya untuk menjadikan negara ini bebas rasuah dan bertenaga daripada segi ekonomi,” katanya kepada Bernama selepas majlis berbuka puasa bersama media sempena setahun pemerintahan kerajaan PH di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah Wilayah Persekutuan, pulau ini telah lama tersisih daripada pembangunan arus perdana dan memerlukan lebih banyak peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan ekonominya atau kemajuan ekonominya akan tinggal terbiar.

“Keadaan ekonomi Labuan yang perlahan telah menyebabkan mereka yang menganggur lebih resah gelisah, kos sara hidup yang terus kekal tinggi di negara ini, justeru kita perlu meletakkan asas bagi pelaburan dan penjanaan semula untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita penduduk di pulau ini, ” kata beliau.

Rozman, dari parti Warisan itu, berkata kerajaan PH bahkan turut menawarkan penyelesaian kepada masalah-masalah berkaitan ekonomi untuk para pelabur dan rakyat dari serata dunia.

“Bagi Labuan, sebagai sebuah Wilayah Persekutuan, ia amat mudah, kami bukan hendak meminta banyak sangat, tetapi biarlah lebih kurang sebanding dengan apa yang dinikmati Putrajaya sekarang daripada segi kemudahan yang lebih baik dan tarikan-tarikan pelancongan yang ditambah baik,” kata beliau.

Beliau berkata penduduk Labuan, terutama masyarakat perniagaannya faham bahawa untuk meningkatkan KDNK dan pendapatan isi rumah memerlukan masa dan sudah tentu tempoh setahun ini tidak mencukupi untuk memperoleh hasil yang lebih baik.

“Usaha-usaha reformasi yang hendak dilaksanakan tidaklah semudah yang dijangkakan (memandangkan mereka telah lama berada dalam zon selesa), kita perlu ada keyakinan dan kepercayaan terhadap usaha-usaha  kerajaan ini untuk mencapai pelaksanaan yang licin dan lancar,” tambah beliau.

Beliau juga berkata usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi juga tidak mudah kerana ia memerlukan infrastruktur ekonomi yang menyeluruh dan sokongan rakyat.

“Ada di antara perkara-perkara yang dilaksanakan itu tidak popular tetapi akan memberi hasil yang penting buat negara dalam jangka masa panjang…justeru, pemerinahan yang telah berjalan selama setahun ini masih tidak cukup untuk melihat usaha-usaha ini berjaya,” kata beliau.

Rozman berkata ekonomi Labuan yang sangat bergantung kepada sektor berkaitan minyak dan gas kini memerlukan bantuan kerana sektor berkenaan masih belum pulih.

“Kita tidak boleh memberi janji dan impian yang tidak pasti (projek-projek pembangunan) kepada rakyat terutama masyarakat perniagaan atau kerajaan akan dikritik kelak,” kata beliau.

Rozman berkata wujud keperluan untuk memfokus kepada penyertaan penduduk setempat dalam sektor-sektor utama Labuan iaitu minyak dan gas serta sektor kewangan di PETRONAS Methanol dan Pusat Perniagaan Antarabangsa Labuan. — Bernama

Advertisement