Anda di sini

Polis marin gagalkan cubaan seludup petrol ke negara jiran

Advertisement

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1,410 liter minyak petrol bernilai RM2,932.80 yang diisi dalam 47 tong satu gelen dalam operasi khas di perairan Tanjung Layak-Layak, Pitas, dekat sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata berdasarkan maklumat Unit Risikan Marin, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot pam di kawasan perairan itu dalam Op Landai Khas pada jam 11.30 pagi, dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pam itu dinaiki dua lelaki warga asing berumur lingkungan 22 dan 35 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Juragan bot pam itu gagal menunjukkan surat atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkaitan minyak petrol yang dibawa. Barang kawalan itu dipercayai hendak dibawa ke negara jiran.

“Kedua-dua lelaki itu ditahan dan 47 tong berisi minyak petrol itu  dirampas. Polis turut merampas sebuah pam bot, dua unit enjin pam, dua batang shaft dan dua batang kipas bot. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,232.80,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohamad Pajeri berkata kedua-dua individu serta barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. — Bernama

Advertisement