Anda di sini

Petani bebas tuduhan sebabkan cedera parah dua anak

KOTA KINABALU: Seorang petani berjalan keluar dari ruangan Mahkamah Sesyen di sini, dengan tenang bersama keluarganya apabila dibebaskan atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap dua anaknya.

Hakim Elsie Primus membebaskan tanpa melepaskan Sabidang Rangkata, 68, atas pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan kedua-dua anak tertuduh membuat laporan menarik kes terhadap ayah mereka.

Tertuduh didakwa mencederakan anak perempuannya Melia Sabidang, 15, dan anak lelakinya Admi Sabidang, 22, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan dilakukan pada 15 November tahun lalu jam 8.30 malam di sebuah rumah Kampung Rantai Rusok, Kota Belud.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu ketika pengadu (Admi) dipanggil ke hadapan untuk memberikan keterangan, beliau menyatakan laporan penarikan kes itu dibuat dengan rela hati.

"Saya bersimpati dengan ayah. Saya anggap kejadian terbabit sebagai satu kemalangan," katanya dengan kesal.

Namun Elsie mengingatkan Admi bahawa dalam laporan polis menyatakan semasa kejadian pengadu balik ke rumah dalam keadaan mabuk.

"Adik anda cuba memberikan nasihat tetapi berlaku pertengkaran antara kamu. Ayah kamu meleraikan pertengkaran sehingga tidak sedar mengambil parang dan menetak kamu.

"Kejadian ini disebabkan anda. Anda mahu balik dalam keadaan mabuk lagi?" Soalnya kepada Admi.

Mendengar nasihat itu, Admi yang bekerja sebagai petani mengatakan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.

Apabila Sabidang yang mempunyai masalah pendengaran diberikan penjelasan dalam bahasa Dusun bahawa kesnya sudah selesai, kelihatan senyuman terukir diwajahnya.

Sebelum ini tertuduh yang didakwa atas pertuduhan terbabit mengaku tidak bersalah.

Sementara menunggu kes selesai tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 tanpa deposit dicagarkan dua penjamin tempatan.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip mewakili pihak pendakwaan.