Anda di sini

Perompak acu pistol ke kepala mangsa 

Advertisement
Polis di luar lokasi kejadian hari ini.

MIRI: "Mereka mengacu pistol ke kepala suami saya," demikian menurut mangsa rompakan bersenjata yang berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi. 

Beliau yang ditemui pemberita di kediamannya di Taman Serene Jelita di Taman Tunku, dekat sini memberitahu beliau baru sahaja balik ke rumah selepas mengambil anak lelakinya yang berusia empat tahun, dari sekolah tadika.

"Saya baru sahaja memakirkan kereta dan hendak masuk ke rumah apabila satu dentuman kuat berbunyi di belakang saya. 

"Terkejut dengan bunyi tersebut saya menoleh ke belakang dan ternampak sebuah kereta merempuh pagar rumah saya," katanya menceritakan detik mencemaskan tersebut. 

Beliau kemudian melihat tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan sepucuk pistol keluar dari kereta tersebut sambil menjerit ke arahnya untuk masuk ke dalam rumah.  

Ketika kejadian, suami mangsa dan orang gaji mereka berada di dalam rumah. 

Sejurus masuk ke dalam rumah, perompak terbabit kemudian memaksa keluarga tersebut untuk naik ke tingkat atas sambil mengacukan pistol ke kepala suami mangsa. 

Menurut mangsa, anak lelakinya yang paling trauma akibat kejadian itu selepas mulutnya ditutup dengan pita pelekat oleh perompak tersebut. 

Keluarga tersebut bernasib baik kerana pada masa yang sama, sebuah kereta peronda polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan kejiranan berkenaan ternampak kereta BMW berwarna perak dalam keadaan mencurigakan, menyebabkan mereka menghubungi Bilik Gerakan Miri untuk mendapatkan bantuan, sekitar pukul 1.30 tengah hari.

Perompak yang ternampak kehadiran pasukan peronda polis di luar rumah berkenaan kemudian bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan terkena tangan seorang anggota berpangkat koperal. 

Pasukan peronda kemudian bertindak membalas tembakan bagi mempertahankan diri, dan ia mengena bahagian kaki seorang suspek.

Insiden tembak menembak itu juga telah mengakibatkan jari suami mangsa terluka kerana terkena serpihan peluru. 

Polis yang berjaya mematahkan serangan perompak tersebut berjaya menangkap dua daripada mereka manakala seorang berjaya melarikan diri. 

Polis turut merampas sepucuk pistol semi auto jenis Sig Sauer daripada suspek. 

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah turut berada di tempat kejadian. 

Anggota polis yang cedera di lengan kiri dan perompak yang ditembak di kaki kiri dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) kerana melepaskan tembakan semasa melakukan jenayah berjadual.

  • oleh
  • Advertisement