Anda di sini

Penyertaan dipelawa untuk rebut gelaran ‘Badang Julau’ pada 21 Julai

SIBU: Peminat sukan lasak dipelawa untuk merebut gelaran ‘Badang Julau’ menerusi pertandingan yang akan diadakan di Pentas Utama Pesta Julau pada 21 Julai depan.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Daerah Julau dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak dan Persatuan Orang Kuat Malaysia (Sarawak).

Pengerusi Persatuan Orang Kuat Sarawak, ASP Ricky Poh berkata, pertandingan itu dianjurkan sempena Pesta Julau 2019 bertujuan untuk mencari siapakah yang bakal bergelar ‘Badang Julau’.

Menurutnya, pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu Men’s Senior Local Sarawak dan kategori belia bawah 21 tahun.

“Peserta kategori Men’s Local Sarawak dikehendaki menjalankan rutin ‘tyre flipping’ (300kg), mengangkat batu (80 kg, 90 kg dan 136 kg), mengangkat kereta, ‘farmers walk’ 120 kg x 40m dan ‘yoke walk’ 220 kg x 40 m.

“Manakala kategori Belia Bawah 21 tahun peserta dikehendaki mengangkat tayar (280 kg), mengangkat batu 75 kg, ‘200 litre drum roll’, memikul batu (River Boulder) dan ‘loading race’,” jelasnya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, juara kategori Men’s Local Sarawak bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, tempat kedua RM800 dan tempat ketiga RM600, berserta pingat dan sijil.

“Peserta di tempat keempat juga membawa pulang hadiah wang tunai RM400, tempat kelima RM100, dan tempat keenam RM50, juga berserta pingat dan sijil.

“Johan kategori belia bawah 21 tahun pula membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, diikuti naib johan RM700 dan tempat ketiga RM400, berserta pingat dan sijil.

“Peserta di tempat keempat akan menerima RM200, tempat kelima RM100 dan tempat keenam RM50, berserta pingat dan sijil,” ujarnya.

Ricky berkata, pendaftaran peserta dijalankan pada jam 8 pagi 21 Julai dengan yuran RM50 untuk kategori terbuka, RM30 (kategori belia bawah 21 tahun) dan warga tempatan Julau adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Inspektor Sofian dan Marcos Enggai di talian 019-8482192 atau Dayang Lily 010-9666196.