Anda di sini

Penuntut i-CATS laksana CSR sambil selami kehidupan di kampung

Advertisement
 Barisan pentadbir PPKS/i-CATS Miri dan kakitangan merakamkan gambar kenangan bersama penduduk kampung dan pelajar yang terlibat dengan program anak angkat.
UNTUK KENANGAN: Barisan pentadbir PPKS/i-CATS Miri dan kakitangan merakamkan gambar kenangan bersama penduduk kampung dan pelajar yang terlibat dengan program anak angkat.

DALAM usaha membina jaringan erat bersama masyarakat melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawan, 25 penuntut Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) Cawangan Miri telah menyertai Program Anak Angkat di Kampung Iran Suai di Miri, baru-baru ini.

Program tiga hari dua malam itu disertai pelajar-pelajar Semester 4 program Diploma Pentadbiran Perniagaan dan Diploma Pengurusan Perladangan.

Pensyarah yang mengendalikan program tersebut, Noraini Sahaini berkata, penganjuran program seumpama ini dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar tentang melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

 Syuhaira (kanan) menunjukkan kemahirannya memasak menu istimewa buat penduduk kampung.
SEDAP: Syuhaira (kanan) menunjukkan kemahirannya memasak menu istimewa buat penduduk kampung.
 Para pelajar dan kakitangan PPKS/i-CATS Miri bergotong-royong menyediakan bahan masakan.
PERSEDIAAN: Para pelajar dan kakitangan PPKS/i-CATS Miri bergotong-royong menyediakan bahan masakan.

“Saya mahu memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk menyelami dan merasai kehidupan sebagai anak kampung.

“Malah ia dapat menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar untuk berkomunikasi bersama orang lain dengan lebih baik,” katanya ketika ditemu bual Utusan Borneo.

Noraini berkata, program ini juga dalam masa sama mempromosikan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan i-CATS kepada penduduk luar bandar.

Pelajar yang mengikuti program ini dibahagikan kepada tujuh kumpulan yang kemudiannya diagihkan kepada tujuh keluarga angkat di kampung berkenaan.

Menurut Noraini, Kampung Iran Suai dipilih untuk program ini disebabkan keunikan kampung tersebut yang kebanyakan penduduknya mempunyai pertalian kekeluargaan.

“Disebabkan itu, saya mahu didik pelajar supaya sentiasa bersatu seperti sebuah keluarga dan juga mensyukuri nikmat yang diperolehi dalam kehidupan seharian,” katanya.

 Para pelajar merakamkan gambar kenangan bersama keluarga angkat mereka.
UNTUK ALBUM: Para pelajar merakamkan gambar kenangan bersama keluarga angkat mereka.

Sementara itu, ketua projek Mohd Haziq Hisyam Hanafiah berkata, program ini banyak meninggalkan kesan yang pelbagai dalam diri dan rakan-rakannya.

“Menjalani kehidupan di kampung merupakan satu pengalaman baharu buat saya, ia mengajar erti untuk bersyukur dengan apa yang ada walaupun kehidupan di kampung sangat berbeza dengan kehidupan di bandar.

“Saya dan rakan-rakan belajar mengenai semangat tolong-menolong bersama penduduk kampung dan menjalani kehidupan sebagai satu keluarga yang erat,” katanya.

Mohd Haziq Hisyam berkata, beliau berharap masyarakat di luar sana dapat mendidik generasi muda untuk merasai kehidupan di kampung kerana pengalaman yang ditimba tidak mudah diperolehi dalam bilik kelas sahaja.

Seorang lagi pelajar Stephanie Antai George berkata, pengalaman tinggal bersama keluarga angkat sesuatu yang tidak dapat dilupakan dan menjadi kenangan baharu buat dirinya.

“Pada mulanya memang ada rasa takut dan rasa asing bila tinggal bersama keluarga angkat kerana kita tidak tahu macam mana keadaan sebenar dihadapi di dalam rumah.

“Namun saya bersyukur kerana keluarga angkat kami begitu baik dan melayan kami seperti anak sendiri, saya langsung tidak rasa macam orang asing di rumah itu, ia pengalaman manis buat saya,” jelasnya.

Beliau juga bersetuju sekiranya program anak angkat ini diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan para pelajar menjalinkan ikatan baharu bersama masyarakat kampung.

Program kali ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Kampus PPKS Miri Syuhaira Mohd Zin dan kakitangan lain yang turut serta menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

  • oleh
  • Advertisement