Anda di sini

Pengusaha ladang sayur di Sibu ditangkap mencuri elektrik

Advertisement
 Pasukan Pemeriksa Meter SESCO memutuskan sambungan elektrik secara haram.
BERTINDAK: Pasukan Pemeriksa Meter SESCO memutuskan sambungan elektrik secara haram.

KUCHING: Pengusaha ladang sayuran komersial di Jalan Oya, Sibu telah ditangkap mencuri elektrik dengan menyambung bekalan secara haram dari sebatang tiang elektrik berdekatan dalam kes kecurian tenaga baru-baru ini.

Dalam operasi bersama yang dijalankan Unit Pemeriksa Elektrik (EIU) Kementerian Utiliti dengan polis, ladang tersebut didapati menyambung bekalan secara haram dari ‘transformer’ di tiang elektrik tersebut tanpa meter.

Bertindak atas maklumat orang awam, sejak Mac tahun ini Sarawak Energy telah memantau pengendali yang melakukan jenayah itu beberapa kali.

Sarawak Energy telah meletakkan pengendali ladang itu dalam senarai pengawasan kecurian kuasa dan bekerjasama dengan pihak polis dalam mengendalikan kes ini.

Menurut jurucakap syarikat utiliti Sarawak Energy, SESCO Berhad, sambungan elektrik secara haram dengan pendawaian terdedah adalah amat berbahaya.

“Ini kerana terdapat risiko kejutan elektrik dan ia juga boleh menyebabkan kebakaran.

“Maka itu, orang awam diingatkan bahawa mencuri tenaga elektrik adalah satu jenayah yang berbahaya,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Kes kecurian tenaga masih berleluasa di Sarawak dan Sarawak Energy akan terus bekerjasama dengan EIU, polis dan agensi penguat kuasa lain bagi meningkatkan operasi di semua sasaran yang dikenal pasti di negeri ini.

Sarawak Energy juga sedang mengkaji teknologi berkesan untuk mengesan aktiviti kecurian tenaga bagi membendung jenayah ini.

Mereka yang didapati bersalah mencuri elektrik akan dikenakan mengikut Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik yang membawa hukuman denda RM100,000 dan atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sarawak Energy mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas bantuan mereka dan terus memberi kerjasama untuk melaporkan aktiviti yang mencurigakan menerusi hotline di 082-443535 di mana semua maklumat yang diberikan adalah sulit.

Advertisement