Anda di sini

Kerah kudrat lawan pencabul

Advertisement
 Mahli dibawa anggota polis keluar dari kamar Mahkamah Majistret.
KE PENJARA: Mahli dibawa anggota polis keluar dari kamar Mahkamah Majistret.

KUCHING: Bergelut, menumbuk muka dan menendang kemaluan merupakan antara usaha seorang gadis untuk melepaskan diri daripada dicabul seorang lelaki bogel yang tidak dikenali.

Dalam satu insiden di sebuah rumah di Jalan Sungai Apong pada 10 Mei lalu, Mahli Jemi yang berbogel, menindih dan memeluk mangsa berumur 24 tahun.

Mangsa sedang tidur ketika diperlakukan sedemikian oleh Mahli, 35, dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu.

Ketika menyedari badannya ditindih dan mangsa cuba mencium bibir, dia nekad melawan.

Apabila berjaya melepaskan diri daripada tertuduh, mangsa menjerit dan keluar dari bilik sambil memanggil kakak iparnya untuk mendapatkan pertolongan.

Akibat perbuatan itu, Mahli yang berasal dari Sebuyau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula semalam serta satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mahli yang mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan hanya akur dan berdiam diri apabila hukuman dijatuhkan oleh Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Mahli kemudiannya diberkas polis di rumah sewanya pada 11 Mei.

Untuk kesalahan terbabit, Mahli didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement