Anda di sini

Kepulangan tonggak ceriakan Sarawak

Advertisement
 Shreen (kanan) mendengar arahan Penolong Jurulatih, Ian Andrew Gillan (kiri) semasa sesi latihan. (Gambar sisipan) Rodrigo.
TEKUN: Shreen (kanan) mendengar arahan Penolong Jurulatih, Ian Andrew Gillan (kiri) semasa sesi latihan. (Gambar sisipan) Rodrigo.

KUCHING: Pemain tengah, Mohammad Adam Shreen Tambi membawa berita gembira kepada skuad Sarawak selepas dapat kembali beraksi pada perlawanan Liga Premier menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, Sabtu ini (18 Mei).

Pemangku Jurulatih, Mohamad Denny Da’ail berkata, pemain berpengalaman itu terpaksa diketepikan ketika Sarawak dibelasah 6-2 oleh PDRM hujung minggu lalu kerana digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Dia akan kembali beraksi untuk perlawanan menentang UiTM FC Sabtu ini. Saya percaya kehadirannya mampu mencetus semangat kepada rakan sepasukan yang lain,” kata Denny.

Beliau bagaimanapun akui sedang bergelut menyediakan barisan kesebelasan terbaik untuk menentang UiTM ekoran beberapa pemain utama yang masih dibelenggu kecederaan.

Katanya, skuad masih kehilangan Pedro Henrique Dias De Amorin (pertahanan), Benedict Martin (tengah) dan Nur Shamie Iszuan Amin (penyerang) akibat kecederaan.

Sarawak ketika ini menghuni tangga ke-10 dengan mengumpul 9 mata hasil dua kemenangan, tiga kali seri berbanding tujuh kekalahan dari 12 perlawanan dilalui setakat ini.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi calon pemain import menyertai sesi ujian bersama Sarawak iaitu pemain tengah dari Brazil, Rodrigo Amorim Oliveira (29 tahun).

Rodrigo yang merupakan rakan kepada Pedro dan Hudson Dias pernah menyertai ujian bersama Sarawak pada awal musim.

Terdahulu, pemain pertahanan kelahiran Jepun, Yohei Iwasaki menyertai kem latihan Sarawak untuk mencuba nasib menyarung jersi pasukan itu.

Ia termasuk pemain tempatan dari Kuala Lumpur iaitu Mohd Haikal.

Advertisement