Anda di sini

Kejayaan tewaskan TFC luar biasa: Devan

 Pemain TFC Mohamad Ashari Samsudin (dua kiri) berjaya menjaringkan gol ketika menentang pasukan PJ City pada saingan Liga Super 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin. — Gambar Bernama
GOL!: Pemain TFC Mohamad Ashari Samsudin (dua kiri) berjaya menjaringkan gol ketika menentang pasukan PJ City pada saingan Liga Super 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Jurulatih PJ City FC, K. Devan menyifatkan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin di sini, malam kelmarin adalah sesuatu yang di luar jangka.

Beliau berkata kejayaan itu sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku, apatah lagi beraksi di tempat lawan dan ketinggalan dengan tiga jaringan tanpa balas.

“Saya tidak menjangka keputusan ini apabila berdepan TFC di laman sendiri, tetapi dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Pada pertemuan itu, PJ City FC berjaya menundukkan TFC 5-3 walaupun ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama permainan, sekali gus meranapkan harapan skuad Penyu untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Mengulas lanjut, Devan berkata walaupun dibolosi tiga gol dalam jangka masa singkat pada babak pertama permainan, ia sama sekali tidak melunturkan semangat juang anak buahnya.

Sebaliknya, beliau berkata skuad ‘The Phoenix’ yang berpangkalan di Petaling Jaya itu bangkit bertenaga memperkemaskan permainan dan menjaringkan lima gol pada babak kedua perlawanan.

“Setelah kita berjaya menyamakan kedudukan, semangat dan motivasi pemain PJ City lebih tinggi dan mereka lebih ghairah mencari gol kemenangan selepas itu.

“Kita pun tahu TFC telah mengharungi banyak perlawanan dalam kempen Piala FA serta liga dan ini juga memberi kelebihan dari segi kecergasan kepada pemain PJ City untuk terus memberi tekanan kepada mereka,” katanya.

Pada masa sama, Devan tidak menafikan bahawa kemasukan dua pemain import baharu, Washington Brandao dan Pedro Henrique menjadi penyumbang utama kepada kejayaan PJ City FC malam kelmarin. — Bernama