Anda di sini

Tiga ditahan terbabit kes curi

Advertisement
PELBAGAI barangan yang berjaya dirampas semula selepas penangkapan di rumah sewa yang dihuni suspek.
PELBAGAI barangan yang berjaya dirampas semula selepas penangkapan di rumah sewa yang dihuni suspek.

KENINGAU: Polis berjaya menahan tiga individu termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes curi dan pecah kedai di sini serta beberapa daerah berhampiran.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata kesemua suspek berumur 20 hingga 43 tahun ditahan di sebuah rumah sewa di Kampung Bulu Silou, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi 9 Mei lalu.

“Semasa serbuan, polis berjaya menemukan 45 barangan termasuk barangan kedai yang dipecah masuk pada 8 Mei di Toboh Tambunan serta peralatan pecah rumah.

“Turut ditemukan ialah sebuah motosikal yang dilaporkan di sini pada 13 April dan sebuah kereta kompak yang hilang di Kota Kinabalu pada 10 Mac,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas lima bungkusan serbuk putih dipercayai syabu di dalam beg suspek lelaki dan dua daripada suspek juga positif dadah.

Shahrudin berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 13 kes curi membabitkan harta benda di sini serta Tambunan, Sook dan Nabawan.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berumur 25 tahun berjaya ditahan pihak polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bahagian C Nabawan selepas mencederakan seorang lelaki berumur 50 tahun pada 10 Mei.

“Lelaki yang positif dadah jenis syabu itu dikatakan menetak mangsa yang juga warga asing sehingga mengalami luka sepanjang 20 sentimeter di bahagian perut akibat perselisihan faham serta tidak puas hati suspek terhadapnya.

“Polis juga berjaya merampas parang yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya.

Tambahnya polis sekali lagi berjaya merampas sebuah senjata buatan sendiri iaitu bakakuk dan tiga butir peluru selepas berjaya menahan suspek lelaki yang melakukan ugutan menggunakan senjata itu di Kampung Narayat Tambunan pada 11 Mei.

  • oleh
  • Advertisement