Anda di sini

RM10,000 untuk air mineral dan garam

 

SIBU: Polis sedang memburu saki baki rakyat China dipercayai anggota geng penipuan yang memperdaya mangsa mereka untuk menyerahkan wang dan barang kemas bagi upacara sembahyang kononnya bagi menolak bala.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit (gambar) berkata, susulan penangkapan seorang suspek pada 12 Mei lalu, seorang lagi mangsa telah tampil membuat laporan polis hari ini.

Mangsa, 59, dalam laporannya mendakwa ditipu oleh seorang warganegara China melibatkan kerugian berjumlah RM10,000 termasuk wang tunai serta barang kemas.

Katanya, dia terserempak dengan tiga wanita dari China yang memintanya menunjukkan arah ketika berada di Jalan Channel kira-kira pukul 10.30 pagi pada 12 Mac (Isnin) lalu.

"Ketika menunjukkan arah kepada mereka, salah seorang wanita memberitahunya anaknya yang berada di Singapura berada dalam keadaan tidak sihat dan mati mengejut.

"Pada masa yang sama, seorang lagi dilihat sedang melakukan pemujaan seolah-olah cuba menyelamatkan anak mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Stanley berkata, ketiga-tiga wanita berjaya menyakinkan mangsa untuk menyerahkan seberapa banyak wang yang dimiliki sebagai pengeras untuk sembahyang buang sial selama tempoh 49 hari.

Mereka (suspek) juga berjanji untuk mengembalikan wang itu selepas selesai sembahyang.

"Pengadu bersetuju dan menyerahkan wang tunai RM6,000, empat bentuk cincin emas dan seutas rantai perak manakala seorang lagi suspek kemudian menyerahkan satu bungkusan untuk dibawa pulang ke rumah.

"Apabila pengadu membuka bungkusan tersebut, didapati di dalamnya hanyalah sebotol air mineral dan sebungkus garam sehingga pengadu menyedari bahawa dirinya telah ditipu," jelasnya. 

Stanley berkata, suspek memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang dan barang kemas bagi upacara sembahyang kononnya untuk membuang nasib malang yang menimpa anak mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tambahnya lagi.