Anda di sini

Posa sifatkan isu ditimbulkan PBBS luahan secara peribadi

Advertisement
ISKANA
ISKANA
POSA
POSA

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menyifatkan isu ditimbulkan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd Iskana Bujang sebagai luahan peribadi kerana tidak dapat menerima kekalahan semasa pemilihan Exco FAS pada Mesyuarat Agung Dwitahunan (AGM) FAS 2018/2021 di Limbang tahun lalu.

Posa menjelaskan, apa yang dibangkitkan Iskana itu sebagai tidak masuk akal.

“Saya percaya jika dia (Iskana) menang atau berjaya dipilih menjadi salah seorang Exco FAS mungkin tidak timbul sebarang isu yang beliau bangkitkan itu,” katanya di sini semalam.

Justeru, beliau mahu Iskana bersikap matang dengan menerima hakikat sebenar dan tidak mempertikai segala agenda yang sudah disahkan pada AGM lalu.

“Semuanya sudah disahkan...kalau beliau mahu mempertikaikannya mengapa tidak semasa di Limbang berbanding cuba mengungkit kembali perkara tersebut sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, Iskana menyifatkan kenyataan balas Posa sebagai tidak menjawab segala persoalan dilontarkannya pada sidang media sebelum ini.

Malah, beliau terkilan ekoran kelantangan Presiden FAS itu mempertikai status Mesyuarat Agung Dwitahunan (AGM) PBBS 2018/2021 dikatakan beliau tidak mengikut prosedur yang tepat.

“Untuk makluman, PBBS adalah sah pendaftarannya dengan Pesuruhjaya Sukan Negeri Sarawak dan tiada masalah.

“Saya tidak bertindak bersekongkol dengan mana-mana individu dalam hal ini. Apa saya buat adalah tanggungjawab sebagai ahli gabungan FAS menjaga nama baik persatuan, itu sahaja,” kata Iskana dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam.

Beliau turut mencabar Presiden FAS itu menyiasat akaun persatuan itu sejak beliau memegang tampuk kepimpinan badan induk itu bermula 2017 hingga sekarang.

Jelas Iskana, kenyataan Posa mengenai calon presiden perlu mempunyai RM3 hingga RM5 juta setahun hanya rekaan semata-mata yang jelas memperlihat niatnya untuk terus menguasai FAS.

Advertisement