Anda di sini

Polis bertindak usir aktivis pro-Maduro dari kedutaan Venezuela di Washington

 Aktivis pro-Maduro dilihat di jendela kedutaan Venezuela di Washington selepas polis                    bertindak untuk mengusir mereka dari bangunan tersebut lewat kelmarin. — Gambar Reuters
DEGIL: Aktivis pro-Maduro dilihat di jendela kedutaan Venezuela di Washington selepas polis bertindak untuk mengusir mereka dari bangunan tersebut lewat kelmarin. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Polis Amerika Syarikat (AS) bertindak pada kelmarin malam untuk mengusir warga Amerika yang telah menduduki kedutaan Venezuela di Washington dalam usaha untuk menghalang kemasukan seorang wakil ketua pembangkang, Juan Guaido.

Pentadbiran Presiden Do-nald Trump dan kira-kira 50 negara lain mengiktiraf Guaido sebagai pemangku pemimpin Venezuela yang sah tatkala beliau berusaha untuk menggulingkan Presiden Nicolas Maduro di tengah-tengah kemelesetan ekonomi yang teruk.

“Pihak berkuasa sudah mengambil tindakan,” kata Rafael Alfonso, seorang anggota delegasi Carlos Vecchio, wakil pilihan Guaido di AS.

Polis dengan lampu suluh mengambil kedudukan di pagar pekarangan, yang ditutup dengan rantai dan mangga.

Mereka bercakap dengan aktivis di dalam dan dengan Mara Verheyden-Hilliard, seorang peguam bersama Partnership for Civil Justice Fund yang berbincang dengan ejen-ejen.

Selepas lima minit, polis kembali untuk mengunci pintu dan aktivis kembali ke tingkat kedua.

“Mereka mempertahankan undang-undang antarabangsa, mempertahankan Konvensyen Vienna, dan bimbang mengenai kesan domino,” kata peguam itu mengenai aktivis terbabit. “Ini adalah laluan yang sangat bahaya.”

Kira-kira 100 warga Vene-zuela yang mengibarkan bendera merah, kuning dan biru negara mereka menyanyikan lagu kebangsaan di luar manakala aktivis AS mengintai keluar dari dalam bangunan empat tingkat berkenaan.

Carmen Ruzza, seorang sarjana berusia 46 tahun dari Venezuela di American University, berkata dia telah melawat kedutaan setiap hari dengan membawa kopi dan donat manakala sekumpulan orang mengelilingi pekarangan diplomatik untuk menekan aktivis supaya meninggalkan bangunan tersebut.

“Ini adalah mikrokosma bagi perjuangan yang kita alami di Venezuela,” katanya.

Ruzza menyifatkan kerajaan Maduro sebagai “rejim penjenayah, rejim pengedaran dadah yang membunuh, menindas”.

Selama berminggu-minggu, warga Amerika yang tidak jelas jumlahnya dari sebuah kumpulan yang memanggil diri ‘Embassy Protection Collective’ telah tinggal dalam kedutaan berkenaan, dengan keizinan kerajaan Maduro.

Warga Amerika yang me-rempat di sana mahu menghalang kemasukan delegasi Guaido.

Diplomat Venezuela yang telah ditugaskan ke sana meninggalkan negara selepas kedua-dua negara menarik balik duta masing-masing pada April lalu. — AFP