Anda di sini

Pindaan peraturan LPP beri manfaat 900,000 peladang

Advertisement
 Azulita memegang salinan dokumen Pewartaan Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
JAWAB: Azulita memegang salinan dokumen Pewartaan Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yakin pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 selari dengan agenda kerajaan semasa yang mengutamakan kedaulatan undang-undang dalam mentadbir urus setiap organisasi.

Ketua Pengarahnya Azulita Salim berkata ia bagi memastikan sektor perladangan agar kekal relevan, lebih dinamik dan berdaya saing, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup 900,000 golongan peladang di negara ini, selain perubahan kepimpinan LPP di setiap peringkat.

“Pindaan ini dibuat secara teratur berdasarkan punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) dan telah dikuatkuasakan dengan sewajarnya.

“Tindakan menyemak dan meminda perundangan sebenarnya berbentuk dinamik dan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian perundangan terhadap keperluan semasa dan memerlukan perhatian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media berkenaan pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, di Menara LPP, di sini semalam.

Pindaan tersebut meliputi tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Antara perkara yang dipinda ialah komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPN terdiri daripada empat anggota dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan lima dilantik oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Warta berkenaan telah dibuat pada 19 April lepas oleh Pengerusi LPP, Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Salahuddin serta dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

Sebelum ini, beberapa PPN seperti PPN Kedah dan PPN Kelantan menyuarakan bantahan dan menggesa kerajaan membatalkan pindaan warta itu kerana berpandangan ia membelakangkan prinsip demokrasi kerana diluluskan tanpa melalui proses perbincangan dengan semua pihak terlibat. — Bernama

Advertisement