Anda di sini

Pecah amanah: Jurujual dipenjara 18 bulan, denda RM3,000

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan pecah amanah melibatkan wang hasil jualan sebanyak RM11,550.

Hakim Noor Hafizah Mohamad Salim juga mengarahkan Johnrie Jumari, 39, membayar denda sebanyak RM3,000 atau penjara enam bulan, selepas mengaku salah.

Tertuduh sebagai jurujual yang diamanahkan penguasaan wang jualan minyak pelincir motosikal didapati menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan dilakukan pada 27 April jam 4.30 petang di E.M Techology Marine Sdn Bhd, Jalan Segama di sini.

Johnrie disabitkan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara setahun hingga 14 tahun dan denda serta boleh dikenakan sebat.

Berdasarkan fakta kes, laporan polis dibuat pengadu pada 27 April, berhubung aduan yang diterima daripada pelanggan mengenai minyak pelincir yang dijual mereka tidak diterima.

Beliau juga diberitahu bahawa pelanggan terlibat juga ada menerima dan menunjukkan resit pembayaran yang dimaksudkan.

Kemudian pengadu berjumpa dengan tertuduh lalu menyoalnya, tertuduh mengaku menggunakan wang terbabit untuk membayar hutang.

Semasa rayuan, Johnrie yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan kerana perlu menanggung lima anaknya yang masih bersekolah.

Tertuduh juga menyatakan dirinya mengaku salah dan menyesal dengan perbuatan yang dilakukan.

Timbalan Pendakwaraya Megat Mahathir menyatakan tertuduh tiada rekod kesalahan lampau dan meminta hukuman setimpal dikenakan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap.