Anda di sini

Nekad realisasi undian

Advertisement
 Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
TRAGIK: Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

KUCHING: Seorang remaja perempuan dipercayai merealisasikan 69 peratus undian rakan Instagram yang memilih ‘Mati’ berbanding 31 peratus ‘Hidup’ apabila ditemui maut selepas disyaki terjun dari aras tiga sebuah bangunan kedai di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, mangsa Davia Emelia, 16, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku sekitar jam 8 malam Isnin lepas.

Menurutnya, mangsa dikatakan membuka undian tersebut di laman sosial berkenaan dan meminta rakan serta pengikutnya di Instagram memilih sama ada ‘D’ (Death) atau ‘L’ (Life) pada jam 3 petang hari yang sama.

“Hasil siasatan dan semakan pada telefon bimbitnya, didapati mangsa cuma mengucapkan sayang kepada rakan-rakannya dalam bahasa Cina di WeChat dan dalam Instagram dia memuat naik undian dengan kapsyen ‘Really Important, Help Me Choose D/L’.

“Daripada undian tersebut, 69 peratus rakannya memilih ‘D’ yang menurut rakan rapatnya bermaksud ‘death’ (mati) dan mangsa juga sempat memuat naik status di akaun Facebooknya yang menyatakan dia sudah letih dan mahu menamatkan hidupnya,” kata Aidil.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di kepala oleh adik lelaki tirinya yang baru pulang dari makan malam di tempat ibu mereka berniaga tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Pada jam 7 malam, mangsa menyuruh adiknya pergi makan di tempat ibu mereka berniaga dan sekitar jam 8 malam ketika adiknya pulang, dia melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri atas jalan dan terus mendapatkan pertolongan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” kata Aidil.

Difahamkan, mangsa bersama ibunya yang merupakan warga Indonesia serta adik tirinya itu menyewa di atas bangunan kedai tersebut sejak 2008, manakala bapa tiri mangsa yang berasal dari Kedah bekerja di Singapura.

“Menurut ibunya, mangsa sangat rapat dengan bapa tirinya, namun bapa tirinya itu jarang pulang selepas dia berkahwin dengan seorang wanita Vietnam menyebabkan mangsa kecewa dan dipercayai punca mangsa nekad bertindak sedemikian (bunuh diri),” jelasnya.

Selain itu, Aidil memberitahu siasatan di tempat kejadian termasuk rumah sewa keluarga mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Rumah mereka terletak di aras tiga bangunan kedai tersebut dan pintu utama dilengkapi dengan jeriji, manakala bilik tidur mangsa yang menghadap ke jalan raya didapati kesemua tingkapnya tiada jeriji.

“Didapati satu tingkap di bilik mangsa dibuka secara luas dan disyaki dibuka oleh mangsa,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat dan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut masih dijalankan.

  • oleh
  • Advertisement