Anda di sini

Dua wanita didakwa menerima, miliki wang hasil aktiviti haram

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua wanita tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima dan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram sebanyak RM395,178.52.

Runtiah Rais, 42, dan Muhilim @Masinah Buaya@Buayie, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Runtiah didakwa menerima wang sebanyak RM39,100 didalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan didapati dilakukan October 2011 hingga Oktober 2017 di Maybank Cawangan Karamunsing di sini.

Sementara Muhilim memiliki wang sebanyak RM356,078.52 didalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, pada 17 April di Maybank Cawangan Sinsuran, Jalan Perpaduan di sini.

Sabit salah boleh dikenakan penjara selama 15 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana nilai yang tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Rozana Abd Hadi meminta pertuduhan baharu itu dibicarakan bersama dengan beberapa pertuduhan terdahulu yang didakwa terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun mahkamah mengekalkan jaminan asal terhadap Runtiah dan Muhilim yang diwakili peguam Sugumar Balakhrisnan.

Pada 22 April, kedua-dua tertuduh didakwa bersama suami mereka Timbalan Pengarah Jabatan Keretapi Ismail Ahmad, 59, atas 23 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah RM1,946,592.03.

Sementara menunggu kes selesai, Ismail diberikan ikat jamin sebanyak RM100,000 deposit RM50,000, manakala ikat jamin terhadap Muhilim dan Rintiah RM50,000 deposit RM20,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan sebutan semula kes pada 19 Jun terhadap Runtiah dan Muhilim.

  • oleh
  • Advertisement