Anda di sini

Debaran semakin terasa, anugerah berprestij FIABCI World Prix d’Excellence bakal berlangsung 30 Mei

Advertisement
YEOW THIT SANG
YEOW THIT SANG
YU KEE SU
YU KEE SU

KUALA LUMPUR: Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence kali ke-28 bakal berlangsung di Moscow, Rusia pada 30 Mei depan.

Penganjurannya dijangka akan menarik pemain dan pemimpin industri hartanah global untuk menyaksikan pengiktirafan tertinggi kepada para pemenang atas kecemerlangan projek masing-masing.

Penasihat Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence Ir Yeow Thit Sang berkata, FIABCI World Prix d’Excellence adalah tempat di mana pemaju hartanah Malaysia mampu membuktikan bahawa kualiti projek mereka setaraf dengan pemaju hartanah antarabangsa dengan memenangi pelbagai anugerah di peringkat global.

“Anugerah yang diperoleh pada FIABCI World Prix d’Excellence boleh dijadikan sebagai penanda aras pada sebuah syarikat pemaju tersebut kerana ia bukan sahaja sekadar anugerah tetapi turut mengiktiraf projek yang melambangkan kecemerlangan dalam semua disiplin hartanah yang terlibat.

“Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja menggambarkan pencapaian cemerlang para pemenang malah turut diberikan hak untuk menggunakan logo anugerah eksklusif yang didambakan.

“Pada masa sama, para pemenang juga boleh menjadikan anugerah FIABCI World Prix d’Excellence sebagai salah satu strategi pemasaran kerana orang awam secara amnya akan memilih pemaju hartanah yang terbaik.

“Pemenang juga mendapat akses ke platform antarabangsa yang unik bagi projek dan syarikat mereka di seluruh rangkaian FIABCI yang meliputi lebih 60 negara dan lebih 120 organisasi profesional di seluruh dunia,” katanya dalam wawancara bersama media Oriental Daily News dan Utusan Borneo di Pejabat FIABCI Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Yeow, untuk tahun ini FIABCI World Prix d’Excellence akan mempertandingkan 16 anugerah termasuk satu kategori baharu iaitu ‘Pembangunan Bercampur’.

Menurutnya, menerusi kategori itu satu projek atau pembangunan tunggal terdiri daripada tidak kurang tiga komponen hartanah berfungsi secara bersepadu dengan sambungan pejalan kaki yang dilindungi.

“Contohnya, pembangunan yang menggabungkan penggunaan kediaman, komersial, pejabat dan hotel,” katanya.

Sementara itu Yeow berkata, FIABCI World Prix d’Excellence diadili oleh panel antarabangsa yang terdiri daripada para profesional di mana skop pengadilan meliputi keseluruhan aspek projek dan tidak hanya kepada nilai estetika malah termasuk fungsi dan saiz.

“Semasa proses semakan, pengadil tidak akan mengetahui projek yang mana akan diadili oleh ahli panel lain dan mereka tidak dapat mengadili penyertaan daripada negara sendiri bagi menjamin ketelusan,” jelas beliau.

Ditanya bagaimana Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence dapat membantu pemaju hartanah tempatan, Yeow berkata, pengiktirafan anugerah itu mempunyai impak kepada peningkatan kelestarian industri hartanah di seluruh negara.

“FIABCI adalah organisasi terawal di Malaysia yang menyedari kelestarian alam sekitar amat penting dalam pembangunan hartanah kerana ia dapat mengekalkan sumber alam sekali gus memberi perlindungan terhadap alam sekitar menerusi proses pembaikan serta pemuliharaan.

“Oleh itu dalam setiap kategori dipertandingkan akan diadili berdasarkan kriteria kelestarian alam sekitar dan 25 markah akan diberikan kepada pemaju yang mempunyai aspek kelestarian ini.

“Dengan menyediakan kriteria-kriteria pertandingan seperti ini, para pemaju yang bertanding akan berusaha untuk mencapai kerperluan-keperluan pertandingan sekali gus dapat meningkatkan kelestarian alam sekitar dalam setiap projek yang mereka bina di seluruh negara.

“Seperti yang anda lihat sekarang sudah ramai pemaju tempatan yang menitikberatkan  kelestarian alam sekitar dalam rekaan bangunan mereka,”katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sekretariat FIABCI World Prix d’Excellence Dr Yu Kee Su berkata, penyertaan tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pemain industri hartanah seluruh dunia.

“Untuk tahun ini Malaysia sekali lagi akan menghantar enam penyertaan untuk bersaing dengan projek daripada pemaju antarabangsa yang lain.

“Pada tahun lalu, sebanyak 27 anugerah telah disampaikan pada majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, di mana 14 Anugerah Emas dan 13 Anugerah Perak telah dimenangi oleh projek hartanah dari Taiwan, Malaysia, Hungary, Jerman, Indonesia, Singapura, Vietnam, China dan Rusia,” katanya.

Edisi pertama Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia diperkenalkan pada tahun 1992, antara lain bagi menyediakan platform kepada projek hartanah tempatan yang cemerlang untuk menerokai pasaran antarabangsa yang terbaik dan luar biasa.

Katanya, menerusi projek yang berjaya memenangi anugerah peringkat Malaysia kemudian akan bersaing untuk Anugerah Kecemerlangan Dunia sekali gus memberi peluang kepada pemaju industri hartanah domestik memasuki arena antarabangsa.

“Ia secara tidak langsung meletakkan asas bagi jenama, nilai, reputasi dan tahap industri untuk menggalakkan pembangunan mantap industri hartanah Malaysia.

“Pengiktirafan anugerah ini menyumbang kepada peningkatan kualiti industri hartanah di seluruh negara. Melihat negara lain yang belum menerima pengiktirafan, mereka mungkin masih kurang berkenan dengan kualiti pengeluaran dan daya saing mereka.

“Anugerah Kecemerlangan Hartanah Dunia yang mempunyai reputasi tinggi itu pernah menghadapi kekurangan dana pada tahun 2002 sehingga ia hampir dihentikan,” dedah beliau.

Bagaimanapun, katanya, bekas Presiden FIABCI Malaysia Datuk Alan Tong Kok Mau mengambil langkah untuk menyusun semula program, memperbaiki peraturan dan kriteria pemarkahan untuk memastikan kualiti projek pemenang dapat dipilih melalui penilaian serta semakan yang ketat dan adil.

“Dengan itu, ia dapat mengekalkan reputasi anugerah itu dan penyertaan dapat ditingkatkan sekali gus mengumpul lebih banyak dana untuk meneruskan operasi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence, orang awam boleh melayari laman web www. fiabciprix.com.

  • oleh
  • Advertisement