Anda di sini

Ahli Parlimen GPS tiada masalah isytihar harta

Advertisement
FADILLAH YUSOF
FADILLAH YUSOF

KUCHING: Sarawak sebagai kerajaan negeri pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari 2017, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik saranan Pusat Governas Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) agar semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta.

Ketua Whip Parlimen GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata malah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sebelum ini mengarahkan semua Ahli-Ahli Parlimen GPS supaya mengisytiharkan harta.

"Kini kerajaan Sarawak masih menunggu format ditetapkan GIACC dan SPRM, dengan semua pengisytiharan yang dikemukakan ke Pejabat Ketua Menteri Sarawak termasuk oleh Ahli-Ahli Parlimen GPS akan dihantar sekali gus kelak," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan GIACC menyarankan semua Menteri, Timbalan Menteri dan anggota pentadbiran kementerian supaya mengisytiharkan harta kepada SPRM dan ia juga akan dipanjangkan kepada semua anggota parlimen pembangkang.

Menurutnya, beliau memandang serius isu rasuah. 

Jelasnya, ketika dilantik menerajui Kementerian Kerja Raya pada 2013, langkah pertama diambil beliau sebaik dilantik ialah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ke Arah Pembanterasan Rasuah dengan SPRM.

MoU antara KKR dan SPRM ditandatangani pada 1 Julai 2013, menjadikan kementerian tersebut sebagai yang pertama di negara ini menandatangani perjanjian integriti dengan SPRM.

"Ini membuktikan kita di dalam GPS sentiasa memandang serius isu rasuah dan salah guna kuasa serta menyokong sebarang usaha ke arah membanterasnya hingga ke akar umbi," katanya.

Advertisement