Anda di sini

32.66 juta penduduk di Malaysia, lelaki melebihi perempuan

Advertisement
Nisbah jantina adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan - Gambar hiasan
Nisbah jantina adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Penduduk di Malaysia yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2019 dianggarkan berjumlah 32.66 juta, dengan penduduk lelaki melebihi perempuan, demikian menurut Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2019.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penduduk lelaki yang dicatatkan dalam tempoh itu berjumlah 16.86 juta, berbanding penduduk perempuan seramai 15.80 juta.

"Nisbah jantina adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai laporan perangkaan demografi itu.

Beliau berkata daripada 32.66 juta penduduk itu, sebanyak 29.31 juta adalah penduduk warganegara manakala 3.35 juta bukan warganegara.

Selangor mencatatkan komposisi penduduk tertinggi iaitu 6.54 juta orang manakala Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 92,640 orang, katanya.

Jumlah penduduk yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2019 itu meningkat 1.1 peratus berbanding 32.29 juta pada suku tahun pertama 2018, katanya.

Menurut Mohd Uzir, bilangan penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) turun daripada 7.71 juta pada suku tahun pertama 2018 kepada 7.69 juta suku pertama tahun ini, manakala penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) pula meningkat daripada 22.51 juta kepada 22.80 juta bagi tempoh sama.

Bilangan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) pula meningkat daripada 2.07 juta kepada 2.17 juta bagi tempoh yang sama, katanya. 

"Trend yang ditunjukkan ini adalah selari dengan negara-negara maju iaitu negara ke arah penuaan penduduk," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata sebanyak 116,850 kelahiran hidup direkodkan pada suku pertama 2019 manakala sebanyak 42,647 kematian direkodkan dalam tempoh itu. - BERNAMA

Advertisement