Anda di sini

25 ketua penaja PPBM Sabah

Advertisement
PARA pemimpin PPBM Sabah melafaz ikrar di hadapan Tun Dr Mahathir, sambil diperhatikan oleh Setiausaha Agung PPBM Datuk Marzuki Yahya.
PARA pemimpin PPBM Sabah melafaz ikrar di hadapan Tun Dr Mahathir, sambil diperhatikan oleh Setiausaha Agung PPBM Datuk Marzuki Yahya.

KOTA KINABALU: Kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk penubuhan 25 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Sabah telah diperolehi pada 3 Mei 2019.

Setiausaha Eksekutif PPBM Sabah Datuk Armizan Mohd Ali berkata, surat kelulusan berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kepada  Ketua

Penyelaras PPBM Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada 5 Mei.

Susulan daripada itu, katanya, pada 14 Mei 2019, Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Lafaz Ikrar Ketua-Ketua Penaja Pimpinan Bahagian PPBM Sabah telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersempena Majlis Iftar PPBM Peringkat Nasional.

"Watikah berkenaan telah disampaikan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad kepada 25 ketua penaja pimpinan bahagian bagi 25 bahagian terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Para penerima terdiri daripada Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor (Tuaran), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (Ranau), Datuk Abd Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Akim (Kota Belud), Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego (Kota Kinabalu), Senator Datuk John Ambrose (Penampang), Dato' Sri Dr Arsit Sedi (Putatan) dan Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Papar).

Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis), Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau), Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Pensiangan), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Aksyah Nasrah (Kinabatangan), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Mohd Daud Tampokong (Semporna), Abdul Hakim Gulam Hassan (Silam), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Abdul Karim Abdul Wahid (Kalabakan).

Armizan berkata para ketua penaja pimpinan bahagian akan bertanggungjawab untuk mengurus dan melengkapkan proses penubuhan bahagian serta cawangan-cawangan, sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dalam bahagian masing-masing dengan membentuk struktur organisasi penaja dan menggerakkan proses pendaftaran serta penambahan ahli.

Katanya warga Sabah yang berminat untuk memohon sebagai ahli boleh mendaftar dengan mengisi borang permohonan keahlian yang boleh diperolehi melalui sekretariat bahagian atau terus memohon secara dalam talian melalui laman web PPBM iaitu www.bersatu.org.

Advertisement