Anda di sini

Wanita dakwa disamun, dicabul pengawal keselamatan

Advertisement
POLIS-CABUL
 

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berumur 21 tahun mendakwa disamun dan dicabul seorang pengawal keselamatan rakyat Nepal, dua hari lepas, ketika kedua-dua mereka dalam perjalanan pulang dari kerja dengan menaiki sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata berdasarkan laporan polis yang dibuat wanita itu kira-kira pukul 2.00 pagi semalam, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.15 malam ketika dia menumpangkan lelaki itu dari tempat kerja mereka di Forest City, Tanjung Kupang, dekat Gelang Patah untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Lelaki itu (pengawal keselamatan) pada mulanya duduk di kerusi penumpang belakang, namun sejurus tiba di lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, tiba-tiba dia bertindak menarik baju wanita itu dengan kuat, sebelum berpindah ke tempat duduk penumpang hadapan dan memasukkan tangannya ke dalam skirt wanita itu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu mengakibatkan kereta yang dipandu hilang kawalan sehingga mengakibatkan pelanggaran kecil dengan sebuah kereta lain, sebelum pengawal keselamatan itu mengambil telefon bimbit wanita berkenaan dan melarikan diri.

“Pengawal keselamatan itu bagaimanapun meninggalkan beg galas yang dibawanya di dalam kereta wanita berkenaan. Wanita itu kemudian membuat pemeriksaan terhadap beg galas itu dan menemui dokumen peribadi disyaki milik pengawal keselamatan berkenaan,” katanya.

Menurut Dzulkhairi kes berkenaan sedang disiasat pihaknya mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 354 kanun sama kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan. - Bernama 

Advertisement