Anda di sini

Tiga keldai dadah ditahan ketika lekat peket dadah di badan

Advertisement
 Kamarulzaman menunjukkan keadaan gambar suspek yang menyimpan dadah jenis syabu pada sidang media berkenaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
BUKTI: Kamarulzaman menunjukkan keadaan gambar suspek yang menyimpan dadah jenis syabu pada sidang media berkenaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dua wanita dan seorang lelaki disyaki keldai dadah ditahan di sebuah hotel di Lembah Klang, kelmarin ketika leka melekatkan peket dadah di badan untuk diseludup ke Korea Selatan.

Sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menjalankan operasi jam 12.01 tengah malam dan menahan kesemua suspek berusia 21 hingga 31 tahun.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, polis merampas 5.1 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM255,000 yang dilekatkan pada badan dua wanita itu.

Siasatan mendapati dua wanita itu akan berlepas ke Busan, Korea Selatan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama dengan membawa dadah menggunakan taktik penyeludupan ‘body packed’.

“Dua wanita ini melekatkan dadah menggunakan selotep di sekeliling pinggang serta memasukkannya ke dalam pakaian dalam.

“Suspek lelaki pula disyaki berperanan membantu dua wanita itu. Pemeriksaan urin mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya semalam.

Kamarulzaman berkata kedua-dua suspek wanita itu dibayar sebanyak RM16,000 seorang sekiranya berjaya membawa dadah itu ke luar negara.

“Sebelum berlepas, mereka diberi wang pendahuluan sebanyak RM1,000 dan tiket penerbangan serta hotel manakala baki upah itu akan dibayar selepas kerja selesai.

“Siasatan juga mendapati seorang wanita berusia 31 tahun yang ditahan itu berpengalaman melakukan kegiatan seperti ini,” katanya sambil memberitahu sindiket itu merekrut keldai dadah melalui kenalan atau di laman sosial.

Beliau berkata bekalan dadah yang dirampas itu dianggar bernilai AS$2.04 juta (RM8.5 juta) di Korea Selatan bagi kegunaan 26,000 penagih.

“Permintaan dadah yang tinggi di negara luar menyebabkan harganya mahal, itu salah satu sebab sindiket ini sanggup ambil risiko bawa keluar dadah ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Advertisement