Anda di sini

Rakusnya nelayan asing

 Kesemua 29 warga Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan negara.
DITAHAN: Kesemua 29 warga Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan negara.

KUCHING: Padah curi tiga tan ikan pelbagai jenis di perairan negara di negeri ini, dua bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak petang Sabtu lalu.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi APMM Sarawak Komander Maritim Hamiludin Che Awang, dua bot nelayan asing ditahan sekitar jam 5 petang pada 11 Mei lalu, lebih kurang 80 batu nautika utara Kuching.

"Kita juga menahan 29 individu dipercayai warga Vietnam berusia antara 20 hingga 50 tahun yang terdiri daripada tekong dan awak-awak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas dekat sini, semalam.

Malah Hamiludin mendedahkan, semasa dikesan, dua bot nelayan asing itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Tambahnya, kedua-dua bot itu turut menggunakan nombor pendaftaran KG 91284 TS dan KG 93918 TS.

"Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas bot tersebut mendapati tekong dan awak-awak gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ekoran itu kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985," tegasnya.

Katanya lagi, anggaran nilai rampasan melebihi RM2 juta merangkumi nilai dua bot, ikan dan peralatan menangkap ikan.

Pada masa sama, beliau memberitahu, hasil laut yang dicuri adalah sebanyak tiga tan yang terdiri daripada satu tan ikan campur dan dua tan ikan baja.

"Pihak kami bersama agensi keselamatan laut lain sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi di zon perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Hamiludin mendedahkan, setakat ini sebanyak empat kes tangkapan melibatkan nelayan asing direkodkan yang mana kesemuanya dari Vietnam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Sarawak Leftenan Komander Maritim Dzulfikar Ali dan Penolong Pengarah Kanan Unit CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim Sarawak Leftenan Komander Maritim Musli Jaffar.