Anda di sini

MyKP Labuan dilancar untuk perkukuh sumber tuna osenik

Advertisement
MUNIR dan Faizal meninjau tangkapan tuna di Labuan.
MUNIR dan Faizal meninjau tangkapan tuna di Labuan.

LABUAN: Jabatan Perikanan Malaysia berharap ‘myKomuniti Perikanan’ (myKP) Tuna Labuan dapat membangun serta memantapkan lagi pengurusan aktiviti perikanan dan hiliran di sini sehingga menjadi model yang boleh dicontohi di peringkat nasional.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Munir Hj Mohd Nawi berkata myKP Tuna Labuan ditubuhkan April lalu untuk memperkukuhkan pembangunan sumber perikanan berasaskan Tuna Osenik.

“MyKP Tuna Labuan terbahagi kepada dua iaitu myKP Tuna Enjin yang melibatkan 10 orang dan myKP Tuna Enjin Sangkut dengan bilangan 48 orang,” katanya dalam Sesi Engagement Bersama MyKomuniti Perikanan Tuna Labuan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan.

Turut hadir ialah Pengarah Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili.

Menurut Munir, ahli yang terlibat dalam myKP ialah pemilik vessel, nelayan, kru, peraih, pemborong serta peruncit tuna dan pengusaha produk berasaskan tuna.

Aktiviti yang dijalankan meliputi penangkapan ikan osenik, penjualan serta pemprosesan produk berasaskan tuna dan aktiviti hiliran lain berkaitan dengan perikanan tuna di sini.

MyKP ditadbir oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pengerusi, timbalan, setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa.

Munir menjelaskan myKP Labuan bertujuan untuk menggabungkan pengusaha dan pemilik vessel tuna Labuan di bawah satu komuniti di samping mewujudkan kerjasama dalam kalangan ahli untuk mencapai pelbagai matlamat bersama.

“Sesi engagement kali ini merupakan satu pengenalan untuk menyenaraikan cabaran-cabaran awal bagi membangun myKP tuna Labuan,” katanya.

Labuan memiliki 11 jongkong tuna dengan jumlah pendaratan osenik tuna 77.28 metrik tan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement