Anda di sini

Anak yatim SK Pekan Satu ceria beli baju raya

Advertisement
ANITA (kanan) bersama Zailiana membantu anak yatim memilih baju raya.
ANITA (kanan) bersama Zailiana membantu anak yatim memilih baju raya.

LABUAN: Sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini lebih bermakna buat 32 anak yatim Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) selepas dibawa memilih sendiri pakaian raya.

Penyelaras program itu, Ustazah Dayang Faridah Besar bersama Ustazah Megawati Abdul Rahman berkata sumbangan berkenaan merupakan kutipan amal daripada kakitangan dan ibu bapa SK Pekan Satu sendiri.

Dayang Faridah berkata daripada kutipan wang itu, AJK membawa anak-anak yatim memilih pakaian raya mereka seperti songkok, samping, baju Melayu, baju kurung dan kasut.

Turut hadir ialah Guru Besar SKPS Anita Shyamini S Azman dan Penolong Kanan Pentadbiran SK Pekan Satu Zailiana Zainol.

Seramai lima guru Pendidikan Islam dan dua guru Pendidikan Khas mengiringi anak-anak yatim memilih pakaian masing-masing.

“Anak-anak ini jelas gembira ketika dibawa keluar membeli-belah.

“Program ini merupakan anjuran Panitia Pendidikan Islam SK Pekan Satu yang menjadi acara wajib tahunan untuk kita meraikan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Di samping itu juga, kita mahu membangkitkan suasana kemeriahan Ramadan dan Syawal bersama-sama dengan anak-anak yatim,” kata Dayang Faridah.

Sementara itu, Anita berkata sumbangan daripada pelbagai pihak sangat mengagumkan.

Beliau berharap semoga program seumpana itu dapat diteruskan lagi bagi sama-sama meraikan anak-anak yatim berkenaan.

“Terima kasih buat semua kakitangan dan ibu bapa SKPS yang turut menyumbangkan kewangan bagi menceriakan anak-anak yatim menyambut Ramadan dan Aidilfitri pada kali ini,” katanya ketika ditemui selepas turun padang bersama anak-anak yatim membeli baju raya di pusat bandar.

Advertisement