Anda di sini

Waspada Virus Monkeypox

 Dr Sim mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung di Bazar Ramadan Stutong di Kuching semalam. Turut kelihatan pengerusi penganjur Azizi Morni (kiri).
TERIMALAH: Dr Sim mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung di Bazar Ramadan Stutong di Kuching semalam. Turut kelihatan pengerusi penganjur Azizi Morni (kiri).

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga daripada jangkitan virus monkeypox atau cacar monyet selepas penemuan kes pertama di Singapura baru-baru ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, virus monkeypox merupakan penyakit yang jarang dijumpai dan berpunca daripada haiwan.

“Saya tidak tahu banyak mengenai penyakit ini, tetapi  apa yang pasti ia adalah berisiko kerana berpunca daripada haiwan kepada manusia.

“Jika Singapura dengan fasiliti penjagaan kesihatan yang sangat baik masih boleh ada wabak seperti ini, jadi kita di Sarawak mesti berjaga-jaga kerana sebaik ia menjangkiti manusia susah untuk dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Ramadan Stutong dekat sini semalam.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Dr Sim berkata pihak Jabatan Kesihatan mempunyai pejabat operasi di semua lapangan terbang dan pelabuhan utama.

“Apabila ada penyakit serius seperti ini, pihak jabatan akan menempatkan petugas untuk berjaga-jaga dan memberi perhatian kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda dijangkiti.

“Satu cara adalah dengan melaporkan diri dan kita perlu kuarantin mereka yang mempunyai tanda-tanda dijangkiti penyakit ini.

“Saya pasti Kerajaan Singapura sangat tegas dalam perkara ini dan tidak akan membenarkan mana-mana rakyat mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit ini keluar dari negara,” katanya.

Bercakap mengenai pengagihan bubur tersebut, ia merupakan acara tradisi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sempena bulan Ramadan.

Sebanyak 2,000 bungkusan bubur lambuk diagihkan semalam kepada pengunjung di bazar tersebut yang terdiri daripada pelbagai bangsa.