Anda di sini

Saya sedia berundur, tegas Posa

Advertisement
POSA MAJAIS
POSA MAJAIS

KUCHING: “Saya sedia berundur jika ada individu sanggup mengeluarkan duit sendiri sejumlah RM5 juta setahun untuk membiayai FAS”.

Demikian dengan nada tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais sebagai membalas desakan Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) menuntut beliau meletakkan jawatannya seperti dilaporkan media semalam.

Menurut Posa, individu yang berminat untuk mengambil alih tempatnya juga harus bersedia mengeluarkan dana tambahan sekitar RM3 hingga RM4 juta setahun bagi menampung kos pengurusan FAS dan pasukan bola sepak Sarawak.

“Jika ada individu yang sanggup mengeluarkan belanja sejumlah itu setiap tahun, saya sedia berundur daripada menerajui FAS. Jika tidak berani, jangan cakap banyak!

“Saya pasti berundur apabila tiba masanya kerana saya juga tidak mahu duduk lama di kerusi itu. Tetapi, saya tidak akan melepaskan jawatan itu dengan orang sembarangan,” tegas Posa ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau juga masih perlu ‘membersihkan’ masalah dalaman persatuan itu (FAS) termasuk PBBS sendiri sebelum melepaskan jawatannya.

Mengenai dakwaan PBBS yang tular di media sosial dan akhbar tempatan semalam, Posa mempersoal mengapa Presidennya (Mohamad Iskana Bujang) tidak mempertikai segala isu yang dibangkitkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Limbang pada tahun lalu.

“Kenapa apabila semuanya telah disahkan baharu hendak mempertikai?

“Kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan, cermin diri sendiri dahulu. Hendak mengeluarkan belanja sejumlah RM10,000 untuk mengurus FA Samarahan juga tidak mampu. Apatah lagi hendak menguruskan pasukan Sarawak.

“Malah, pemilihan jawatan presiden FA Samarahan semasa AGM persatuan itu sebelum ini juga tidak mengikut prosedur yang betul,” kata Posa.

Menurutnya, gesaan Iskana lebih bermotifkan untuk menyelamatkan rakan ‘penyangak’ beliau iaitu bekas Exco FAS yang sedang berdepan tuduhan rasuah.

Pada sidang media kelmarin, PBBS diwakili Iskana mendesak agar Posa meletakkan jawatan sebagai presiden FAS dengan serta-merta kerana didakwa salah laku dalam mentadbir FAS selain kemerosotan pasukan bola sepak Sarawak.

Advertisement