Anda di sini

Lelaki bebas tuduhan lakukan seksual terhadap remaja

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dapat berasa lega apabila dibebaskan dan dilepaskan atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap seorang remaja perempuan.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohamad Salim membuat keputusan itu terhadap Nurfazzryn Fazir, 24, setelah perbicaraan penuh dijalankan.

Dalam penghakiman itu, beliau mengambil kira peruntukan mengikut Seksyen 85 (2) Kanun Keseksaan, yang mana keadaan mabuk boleh menjadi suatu pembelaan terhadap sesuatu tuduhan jenayah, sama ada individu yang didakwa mengetahui perbuatan itu salah atau tidak.

Mabuk hendaklah dipertimbangkan bagi maksud menentukan sama ada individu terbabit mempunyai niat tertentu, jika tiada tidak akan bersalah atas kesalahan itu.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Nurfazzryn diletakkan dibawah pengawasan yang selamat sehingga mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri.

Terdahulu Michelle Rusaana Usman yang mewakili tertuduh berhujah, tidak dinafikan tiada saksi daripada pihak pembelaan atau pendakwaan yang dapat menerangkan mengenai kewarasan tertuduh ketika kejadian.

Tertuduh didakwa menyentuh payudara mangsa yang berusia 14 tahun 11 bulan bagi maksud seksual, pada 3 Julai tahun lalu jam 2.30 petang di tepi jalan raya Taman Sempelang, Tanjung Aru di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Sabit salah boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Sepanjang perbicaraan dijalankan pihak pendakwaan memanggil lima saksi manakala tiga saksi daripada pihak pembelaan.

  • oleh
  • Advertisement