Anda di sini

Fakta salah ekonomi Malaysia perlu disangkal segera

SINGAPURA: Sebarang tindakan pantas besertakan fakta konkrit bagi menyangkal maklumat salah mengenai ekonomi Malaysia yang kini di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), amat penting dalam usaha mengekang impak susulan penularan sedemikian.

Ini berikutan apa juga pendiriannya, maklumat sedemikian turut memberi kesan terhadap nasib 32 juta penduduk Malaysia sekiranya fakta salah mengenai keadaan ekonomi negara itu terus dibiarkan tersebar.

Oleh itu, tindakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming wajar dipuji kerana dilihat pantas menyanggah maklumat sedemikian dan pendekatan sama turut diambil oleh Tony Pua yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan.

Penafian itu sebagai reaksi terhadap fakta dipaparkan oleh temu bual media kewangan, Bloomberg TV dengan Ketua Pegawai Pelaburan Serantau UBS Global Wealth Management (UBS), Kelvin Tay yang menyentuh ekonomi Malaysia.

Pihak UBS kemudiannya tampil membuat penjelasan bahawa Tay telah menggunakan beberapa terma salah berikutan tempoh singkat temu bual tersebut yang disiarkan secara langsung.

Isu sama turut mendapat perhatian Datuk A Kadir Jasin yang juga Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika berada di Singapura baru-baru ini dan menyuarakan kekecewaan beliau terhadap rentetan maklumat tidak tepat mengenai keadaan ekonomi Malaysia.

“Kami (kerajaan) maklum jika rakyat marah kerana kos sara hidup yang meningkat atau harga ikan tidak turun kerana sukar untuk menjelaskan kepada mereka mengenai masalah membabitkan ekonomi dunia secara menyeluruh.

“Sukar untuk menjelaskan kepada mereka mengenai perang perdagangan China dan Amerika Syarikat. Sukar juga untuk menerangkan kepada mereka bahawa Eropah kini berdepan sedikit masalah susulan pengunduran United Kingdom. Kami tidak boleh berkongsi cerita... sama ada mereka tidak dapat memahaminya atau tidak minat. Bagi mereka (apa yang lebih dibimbangkan) adalah mereka tidak cukup wang untuk makan tiga kali sehari.

“(Namun) apa yang membuatkan kami (kerajaan) agak kecewa dan terkilan adalah (hakikat bahawa) kami dihukum oleh segelintir mereka yang merupakan pihak paling bijak serta cerdik di dunia,” kata beliau merujuk kepada kalangan pengurus dana, ahli perbankan swasta dan penganalisis.

Tambah Kadir: “(Penarafan) terhadap kami telah diturunkan dalam semua bidang kerana bagi mereka, kami tidak stabil. Kami tidak mampu untuk memacu pertumbuhan sebagaimana yang mereka harapkan. (Akibatnya) kami kini merasai kesukarannya.”

Beliau bercakap pada seminar ‘Challenges Facing the New Malaysia’ (Cabaran Dihadapi Malaysia Baharu) anjuran pihak Institut ISEAS-Yusof Ishak pada 24 April lepas.

Bank Negara Malaysia menerusi kenyataan Dasar Monetari terkini menyatakan, asas unjuran bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah dalam lingkungan 4.3 peratus-4.8 peratus tahun ini.

Di peringkat domestik, keadaan pasaran pekerja yang stabil serta pengembangan kapasiti dalam sektor utama akan terus menjana perbelanjaan isi rumah dan modal.

Menurut bank pusat itu, pasaran kewangan domestik juga kekal berdaya tahan walaupun berdepan fasa ketidaktentuan, sebahagian besarnya akibat perkembangan global.

Pada 7 Mei lepas, BNM telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus daripada 3.25 peratus dan menjadi bank pusat pertama di ASEAN yang melaksanakan langkah itu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan sebagai berkata, langkah itu dapat menyokong projek mega yang kini dihidupkan semula seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur dan Bandar Malaysia dari segi peningkatan permintaan bagi pembiayaan korporat.

Selain itu, kadar baru OPR itu akan mengurangkan komitmen bulanan bagi gadai janji sedia ada atau mana-mana kontrak pembiayaan dengan ciri kadar yang pelbagai.

Impak sedemikian, kata beliau, akan turut membantu pengukuhan ringgit pada masa depan.

Dasar fiskal Malaysia pada 2019 pula akan menumpukan kepada aspek pengukuhan kedudukan fiskal kerajaan menerusi pelan jangka pertengahan yang menyasarkan lebihan fiskal pada -3.4 peratus dan -3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar bagi tahun ini dan 2020.

Dalam Laporan Tahunan 2018 yang dikeluarkan pada Mac, BNM berkata ini dapat dicapai menerusi konsolidasi fiskal secara berperingkat, mengurangkan hutang dan liabiliti serta menggalakkan ekonomi secara inklusif.

Mengulas subsidi gula, beliau berkata kerajaan misalnya telah memansuhkannya dan akan mengenakan cukai terhadap pengeluar minuman manis.

“Kerajaan akan mengenakan cukai terhadap (pengeluar minuman) Pepsi dan Coca Cola serta minuman manis lainnya. Hasil kutipan itu akan digunakan bagi menampung program sarapan untuk anak-anak miskin.

“Malah, kami menjangkakan dengan langkah cukai ke atas minuman itu, kami mempunyai wang yang mencukupi bagi program sarapan untuk semua murid-murid sekolah” kata beliau. — Bernama