Anda di sini

Empat lelaki kumpulan pengganas ditahan, rancang lakukan pembunuhan - KPN

Advertisement
 Sebahagian barangan rampasan dipamerkan ketika sidang media khas mengenai tangkapan empat suspek yang terlibat dalam kumpulan pengganas di Menara Bukit Aman hari ini. - Gambar Bernama
Sebahagian barangan rampasan dipamerkan ketika sidang media khas mengenai tangkapan empat suspek yang terlibat dalam kumpulan pengganas di Menara Bukit Aman hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Empat lelaki disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang merancang melancarkan operasi pembunuhan berprofil tinggi, ditahan di sekitar Terengganu dan Lembah Klang pada Ahad hingga Selasa lepas.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata kesemua suspek terbabit antaranya mempunyai perancangan melancarkan operasi pembunuhan bagi menuntut keadilan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya tahun lepas.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditangkap mengaku menganggotai sel “Wolf Pack” pengganas Daesh serta bersedia untuk melancarkan serangan di negara ini pada minggu pertama bulan Ramadan bagi membalas dendam terhadap kematian Muhammad Adib.

“Sel ini juga merancang untuk melakukan pembunuhan terhadap personaliti-personaliti berprofil tinggi yang dituduh tidak memperjuangkan dan menghina agama Islam.

“Selain itu, mereka juga merancang untuk melakukan serangan berskala besar terhadap tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu, Buddha dan pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata suspek pertama yang ditahan adalah rakyat tempatan yang juga ketua sel “Wolf Pack” pengganas Daesh berusia 34 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek merupakan dalang yang merancang untuk melakukan pembunuhan dan serangan ke atas tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu dan Buddha termasuk pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan ini juga membawa kepada rampasan sepucuk pistol jenis CZ 9mm bersama 15 butir peluru dan enam ‘improvised explosives deviced’ (IED) yang setiap satu berukuran lebih kurang 18cm panjang,” katanya.

Beliau berkata senjata api dan enam batang IED itu diperoleh dari sebuah negara jiran dan akan digunakan dalam operasi pembunuhan dan serangan terhadap tempat-tempat ibadat bukan Islam itu serta pusat hiburan.

Selain itu, suspek kedua yang ditahan merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingnya dan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Abdul Hamid (dua, kanan) menunjukkan barangan rampasan ketika sidang media khas mengenai tangkapan empat suspek yang terlibat dalam kumpulan pengganas di Menara Bukit Aman hari ini. - Gambar Bernama 
Abdul Hamid (dua, kanan) menunjukkan barangan rampasan ketika sidang media khas mengenai tangkapan empat suspek yang terlibat dalam kumpulan pengganas di Menara Bukit Aman hari ini. - Gambar Bernama 

Abdul Hamid berkata lelaki yang berusia 20 tahun itu bekerja sebagai pelayan restoran dan mengaku menganggotai kumpulan pengganas itu serta menyokong kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA).

“Suspek turut merancang untuk melancarkan serangan ke atas kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan berjihad di Rakhine,” katanya.

Abdul Hamid berkata suspek ketiga merupakan rakyat Indonesia berusia 49 tahun dan bekerja di sebuah kilang membuat zink.

“Suspek mengaku terlibat dalam sel “Wolf Pack” pengganas Daesh dan merancang untuk berjihad di Syria manakala suspek keempat merupakan lelaki berketurunan Rohingya berusia 25 tahun bekerja sebagai buruh turut mengaku terlibat dalam sel yang sama.

“Kami sedang berusaha untuk mengesan tiga lagi anggota Daesh yang disyaki terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata mereka yang dicari ialah dua rakyat tempatan iaitu Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan, masing-masing berusia 27 tahun dengan alamat terakhir di No. 35, Taman Bedong, 08100 Bedong, Kedah dan di No. 55 di taman yang sama,” katanya.

Seorang lagi suspek ialah rakyat Indonesia, Fatir Tir yang merupakan buruh binaan dengan alamat akhirnya No.13, Jalan Toman 9, 42700 Banting, Selangor.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung ketiga-tiga individu terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP S.Manivanan  di talian 017-3278435 dari Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman atau mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.

Abdul Hamid berkata mana-mana individu yang didapati menyembunyikan sebarang maklumat, bersubahat atau melindungi individu-individu berkenaan, boleh dituduh di bawah Seksyen 130M, 130K dan 130L Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan itu mereka boleh dihukum penjara antara tujuh dan 30 tahun. - Bernama

Advertisement