Anda di sini

Diselubungi Kemurungan Menjelang Isnin?

Advertisement
 

Setiap kali saya berbicara dengan anak-anak muda yang masih bertatih dalam kerjaya mereka, soalan yang saya ajukan sering berkisar tentang halangan terbesar yang dihadapi mereka. Saya berminat untuk mengenali jenis halangan yang ditempuhi mereka supaya dapat membantu mereka berkembang dan maju dalam kembara kerjaya masing-masing.

Saya menjangka yang mereka akan bercerita tentang cabaran menyesuaikan diri dalam sesuatu budaya, bagaimana hendak menghadapi politik di pejabat, menguruskan masa mereka, atau mengetahui bagaimana caranya mengendalikan tugasan yang muncul secara tiba-tiba ketika mereka begitu terdesak untuk menyiapkan kerja yang sedia ada.

Kemurungan pagi Isnin?

Tetapi ada satu rungutan yang membuatkan saya bergelut untuk mencari jawapan yang dapat membantu. Ia berbunyi begini:

“Cabaran terbesar saya adalah berhadapan dengan pagi Isnin. Saya mula terbayang perjalanan ke tempat kerja dari hari Ahad lagi. Alangkah baiknya kalau minggu bekerja bermula pada hari Selasa, dengan itu, kita cuma ada empat hari sahaja hingga ke hujung minggu dan bukannya lima.”

Bukan sahaja mereka yang baru mula bekerja, yang sudah bertahun-tahun lama bekerja pun sering melontarkan rungutan yang sama, tidak kira sama ada dia seorang pekerja bawahan ataupun bos-bos.

Ramai yang takut untuk menghadapi pagi Isnin, tetapi saya secara peribadi tidak pernah memahami mengapa ini terjadi. Saya faham sebabnya, tetapi ia bukan sesuatu yang saya sendiri rasakan (okay, mungkin pernah sekali dua — tetapi selalunya saya tiada masalah dengan hari Isnin).

Mari kita lihat apa yang digeruni tentang pagi Isnin hinggakan mereka berharap akan melalui hari itu secepat yang mungkin.

Perkiraannya

Katakan waktu bekerja bagi mereka yang berumur di antara 22 dan 65 adalah 43 tahun — ini diterjemahkan kepada 2,236 minggu, maknanya bilangan Isnin pun sama.

Kita boleh mengambil kira cuti yang diambil dan faktor-faktor lain (seperti masa belajar di sekolah dan kolej), tetapi mari kita permudahkannya.

Secara anggaran, hayat bekerja sepanjang 40 tahun melibatkan 2,000 Isnin dan, dalam contoh ini, 2,236 bersamaan lebih kurang enam tahun dalam hidup kita. Enam tahun yang kita harap tidak wujud.

Akan ada orang yang handal dalam matematik yang dapat memberi unjuran yang lebih terperinci yang melibatkan faktor-faktor lain; namun, ia agak menakutkan apabila kita menyedari yang ramai daripada kita sebenarnya beria-ia mengharapkan kelenyapan begitu banyak masa.

Ada banyak sebab mengapa sesetengah orang membenci hari Isnin:

Hujung minggu telah tamat; minggu bekerja sudah bermula; kitaran baharu untuk melakukan kerja yang tidak memuaskan hati atau bermasalah; ia mungkin peringatan yang anda belum berada di mana anda ingin berada; anda terpaksa menghabiskan sepanjang minggu dengan rakan sekerja itu lagi; ada mesyuarat mingguan yang harus ditempuhi dengan klien yang cerewet; budaya kerja yang teruk; apatah lagi dengan pucuk pimpinan…

Pendek kata, ada banyak lagi sebab-sebabnya. Padanlah ramai yang tidak sabar menunggu tibanya hujung minggu!

Tetapi mari lihat semula pada nombor tadi: Enam tahun daripada kehidupan yang ingin dilesapkan semata-mata kerana pandangan negatif terhadap hari itu.

Lain ceritanya pula jika doktor memberitahu kita pada hari Ahad bahawa kita hanya ada seminggu untuk hidup, tiba-tiba hari Isnin itulah hari yang paling kita hargai, dan Sabtu menjadi yang paling digeruni.

Pastinya kita akan membuat apa sahaja supaya dapat melalui dua hari Isnin. Sebaliknya, ada yang mengharapkan supaya 2,000 hari Isnin lenyap daripada kehidupan mereka.

Apabila kita menatapi mereka yang berjaya, kita sering disogok dengan nasihat-nasihat tentang bagaimana kita patut meneladani tabiat dan amalan mereka supaya kita juga mungkin berjaya seperti mereka.

Berkaitan: Perlu Berjaga Tetapi Mengantuk? Masa itu berharga

Setelah bertemu dan berbual dengan banyak pemimpin yang berjaya di serata dunia, dapat saya rumuskan yang pendekatan mereka terhadap kehidupan adalah berbeza — tiada sesiapa yang melalui jalan yang sama dua kali untuk menuju kejayaan.

Tetapi ada banyak sifat dan kualiti serupa dalam kalangan mereka yang berjaya. Salah satunya adalah sifat mereka yang dahagakan ilmu pengetahuan, dan mereka menggunakan sepenuhnya masa yang mereka ada.

Satu lagi sifat yang dikongsi oleh mereka yang berjaya adalah mereka tidak kisah tentang hari dalam minggu tersebut. Isnin adalah sebaik Sabtu, dan Jumaat kadangkala menyebabkan mereka sakit kepala pula.

Mereka tidak melihat masa dalam erti kata hari apa: mereka melihat setiap masa yang mereka ada sebagai keistimewaan yang diberi, jadi mereka bekerja dan memanfaatkan setiap minit yang ada ketika melakukan apa sahaja yang sedang diusahakan.

Jika saya boleh memberi secebis nasihat kepada setiap orang anak muda di luar sana, saya ingin mengatakan yang:

“ANDA PATUT BERHENTI BERFIKIR BAHAWA ISNIN ADALAH HARI YANG MENAKUTKAN. HARI YANG MENAKUTKAN ITU TIDAK WUJUD, YANG ADA CUMA REAKSI MENAKUTKAN.”

Reaksi kita menentukan bagaimana kehidupan bertindak balas dengan kita

Adakah ini bermakna kita patut mengetepikan masalah, kebimbangan dan cabaran dengan senyuman? Tidak.

Kita harus sentiasa bersedia untuk mengenal pasti halangan yang tulen dan mengambil langkah awal untuk menyelesaikannya.

Tetapi kita harus bersyukur dengan setiap masa yang kita diberikan di muka bumi ini. Satu hari nanti, akan tiba hari Isnin terakhir kita dan kita mungkin tidak akan menyedarinya.

Akhir kata

Setiap hari kita diberi peluang untuk membesar, berkembang, mendorong diri kita sedikit demi sedikit untuk menjadi lebih baik pada keesokan hari berbanding hari ini. Setiap hari adalah peluang, bukannya halangan.

Kita diberi keistimewaan untuk belajar, membina, berinteraksi, mencapai dan berjaya. Dan pada hari-hari di mana kita berasa seperti tiada apa yang berjalan mengikut perancangan kita, ada pengajaran yang dapat dipelajari jika kita memberinya lebih perhatian.

Sumber
  • oleh
  • Advertisement