Anda di sini

Diane Keaton bercakap tentang usia, perkahwinan dan Hollywood

Advertisement
 

AKTRES Hollywood Diane Keaton mendakwa diri sebagai antara yang bernasib baik: ketika legenda itu merenungkan usia, rumah tangga, dan bekerja di Hollywood hampir setengah abad, dia berkata dia tidak pernah rasa diganggu secara seksual.

“Tidak pernah. Mungkin saya bukan bahan gangguan,” kata Keaton, yang mempunyai 68 kredit skrin sejak penampilan sulungnya pada 1970 dalam komedi ‘Lovers and Other Strangers’.”

Penampilan atas skrin besar bagi legenda berusia 72 tahun itu termasuk ‘The Godfather’ (1972) dan sekuel-sekuelnya, dua filem ‘Father of the Bride’ pada tahun 1990an bersama Steve Martin dan ‘Something’s Gotta Give’ bersama Jack Nicholson (2003), yang membolehkannya untuk memenangi anugerah Golden Globe.

Namun aktres itu benar-benar meninggalkan kesan dalam lapan filem Woody Allen, daripada ‘Play in Again Sam’ (1972) hingga ‘Manhattan Murder Mystery’ (1993).

Dia memenangi anugerah Oscar bagi aktres terbaik untuk lakonannya dalam ‘Annie Hall’ (1977) bersama Allen dan selepas itu dicalonkan sebanyak tiga kali kali.

Keaton dan Allen menjadi pasangan kekasih buat seketika, dan apabila mereka berpisah, mereka kekal sebagai kawan dan rakan kerja.

Apabila skandal gangguan seksual di Hollywood meledak pada hujung 2017, yang melata daripada penerbit Harvey Weinstein hingga kepada pelakon ‘heavyweight’ seperti Kevin Spacey, tuduhan lama mengenai pencabulan seks kanak-kanak terhadap Allen oleh anak angkatnya yang perempuan, Dylan, muncul semula.

“Woody Allen adalah rakan saya dan saya tetap percaya kepadanya,” Keaton tweet pada Januari 2018.

Walaupun begitu yakin dan mempamerkan keberanian, Keaton lebih suka untuk tidak bercakap mengenai pengarah dan pelakon yang kontroversi itu – dan langsung tidak menjawab soalan mengenai sama ada dia akan bekerja bersamanya lagi ataupun tidak di masa hadapan.

- USIA DAN CINTA -

Dua filem terakhir Keaton adalah mengenai wanita yang semakin berusia: ‘Book Club’ (2018), dengan mesejnya bahawa cinta tidak mengenal usia, dan sekarang ‘Poms’, yang kini ditayangkan di Amerika Syarikat dan Kanada.

‘Poms’ adalah cerita Martha, seorang wanita dengan penyakit yang boleh menyebabkan kematian dan berpindah ke sebuah komuniti persaraan untuk menunggu ajal, tetapi pada akhirnya menubuhkan sebuah skuad sorak yang dianggotai warga emas wanita.

Mengenai penuaan, Keaton berkata kehidupan sebenarnya menjadi lebih mudah.

“Saya fikir begitu, kerana apa yang kita rugi? Ia umpama seperti kebenaran. Itulah dia. Kita menghadapinya, kita bercakap mengenainya,” katanya.

Keaton tidak begitu pasti tentang menghabiskan tahun-tahun terakhirnya di pusat persaraan, tetapi dia sudah tentu tidak akan menjadi penyorak seperti Martha dalam ‘Poms’.

“Saya tidak pernah menjadi penari, dan menyorak pada asasnya sebenarnya adalah menari,” katanya.

Dia menjalani uji bakat bagi skuad sorak sekolah ketika dia berusia 14 tahun tetapi tidak memenuhi syarat.

“Sebenarnya hati saya adalah dalam lakonan di atas pentas,” katanya.

- “SAYA BUKANNYA TIDAK GEMBIRA” -

 Keaton, yang meminati fotografi apabila dia tidak berlakon, tidak terburu-buru untuk bersara.

“Saya tidak memikirkannya,” katanya.

Jika tawaran kerja di Hollywood habis, “saya ada banyak hobi yang sangat memakan masa dan saya amat sukai.

“Saya akan menanganinya dan ia akan menjadi kerja saya.

“Saya tidak ada hasrat sama sekali untuk menghentikan sebarang jenis kerja,” katanya.

Keaton, yang menjalin hubungan cinta yang lama dengan legenda skrin seperti Al Pacino, Beatty dan Allen, mempunyai dua anak angkat tetapi tidak pernah berkahwin.

“Saya tertanya-tanya sama ada saya adalah satu-satunya wanita bujang seusia saya yang pernah berlakon dan tidak pernah berkahwin, jadi saya mungkin manusia aneh,” katanya.

“Kebanyakan orang dalam filem berkahwin pada satu ketika dalam hidup mereka dan kemudian mereka bercerai. Tetapi saya tidak pernah berkahwin.

“Saya seseorang yang gagal,” katanya sambil bergurau.

Adakah dia menyesalinya?

“Saya tidak begitu memikirkannya tetapi saya sedar tentang hakikat bahawa saya luar biasa dalam perkara itu, dan mungkin saya telah terlepas sesuatu – tetapi, tidak ada orang yang boleh memiliki segalanya, betul tak?”

“Saya bukannya tidak gembira,” katanya. — AFP

Advertisement