Anda di sini

Formula sedang dikenal pasti

 Abang Johari ditemani Manyin dan Dr Azhar (dua kiri) merakamkan kenangan bersama dua Tokoh Pendidik Sarawak, Dr Fong Onn Min dan Prof Madya Dr Shari Abdul Rahman.
TAHNIAH: Abang Johari ditemani Manyin dan Dr Azhar (dua kiri) merakamkan kenangan bersama dua Tokoh Pendidik Sarawak, Dr Fong Onn Min dan Prof Madya Dr Shari Abdul Rahman.

KUCHING: Bagi mengatasi masalah sekolah daif di Sarawak, satu formula sedang dikenal pasti untuk memastikan dana RM1 bilion yang dipersetujui melalui pembayaran kontra untuk pinjaman persekutuan bagi tujuan tersebut dapat disalurkan dalam tempoh dua tahun.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia serta Jabatan Pendidikan Sarawak sedang mencari formula untuk pelaksanaan perkara tersebut.

Malah tegasnya, kerajaan Sarawak bersedia untuk mengagihkan peruntukan RM1 bilion itu secara berperingkat kepada kerajaan persekutuan demi membangunkan sekolah daif di negeri ini.

“Formulanya sedang kita cari dan untuk pembayaran pinjaman pertama kerajaan Sarawak akan mengeluarkan RM300 juta dan bayaran pinjaman kedua RM300 juta lagi dan pinjaman seterusnya RM400 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

“Dan sebenarnya cek (pinjaman tersebut) sudah saya sediakan tetapi masih menunggu formulanya antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan sekolah daif ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak bertemakan ‘Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi’ di Dewan Suarah Sri Aman dekat sini, semalam.

Malah, Abang Johari memberitahu, pelaksanaan pertama pembangunan sekolah daif itu hanya bermula selepas formula pelaksanaan dicapai di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Kita mahu laksanakan secepat mungkin selepas hasil rundingan bersama Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik dan kerajaan Sarawak tentang cara untuk kita melaksanakannya,” tambahnya.

Terdahulu, mengenai sambutan Hari Guru, Abang Johari berkata, ia diadakan bagi meraikan warga guru yang banyak menabur jasa kepada anak bangsa di negeri ini dalam melahirkan modal insan yang berjaya.

“Saya dan seluruh masyarakat Sarawak mengucap terima kasih dan penghargaan tinggi kepada warga guru di atas pengorbanan untuk mendidik anak bangsa kita.

“Sesungguhnya seorang insan itu boleh menjadi insan berjaya bermula daripada didikan guru, maka tepatlah dengan tema sambutan Hari Guru iaitu Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad dan tetamu kehormat lain.