Anda di sini

Penyeludupan digempur

 Sanudin (tengah) menunjukkan rokok dan bir seludup yang dirampas pada sidang akhbar semalam.
KEJAYAAN: Sanudin (tengah) menunjukkan rokok dan bir seludup yang dirampas pada sidang akhbar semalam.

SIBU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup rokok dan bir tanpa cukai bernilai RM92,201 dalam dua operasi di Mukah pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Superintenden Sanudin Md Isa berkata, serbuan Ops Libas diketuai Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar itu dilancarkan ke atas sebuah rumah kedai di Pusat Komersial Jalan Setia Raja melibatkan 10 pegawai penguat kuasa PGA dan tiga pegawai dari Jabatan Kastam Sibu sekitar jam 10.30 pagi.

“Kami menjangkakan lebih banyak kegiatan penyeludupan semasa musim perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri berikutan permintaan tinggi terhadap rokok dan bir murah.

“Pihak kami memang menjangkakan pada setiap perayaan, termasuk Hari Raya Aidilfitri, terdapat peningkatan dalam kegiatan penyeludupan.

“Walaupun dalam bulan puasa, namun ia tidak menghalang kami daripada menjalankan operasi.

“Pasukan kami telah melakukan serbuan di sebuah kedai di tingkat pertama bangunan itu kerana disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan,” katanya pada sidang media pagi semalam.

Sanudin berkata, semasa serbuan pihaknya telah menangkap seorang lelaki warga Indonesia, 20, yang sedang membawa satu bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi rokok seludup.

Lelaki itu yang bekerja sebagai penjaga stor kemudian membawa ketua serbuan ke tempat penyimpanan rokok-rokok tersebut di tingkat satu premis tersebut, jelasnya.

“Lelaki itu diarah oleh ketua serbuan untuk membuka pintu stor dan mendapati sebanyak 655 karton rokok seludup pelbagai jenama di dalam stor kedai itu,” tambahnya.

Katanya, barang-barang tersebut dianggarkan bernilai RM76,641, dipercayai duti importnya belum dibayar dari China dan Indonesia.

Sanudin berkata, pihaknya juga mendapati dokumen perjalanan suspek juga telah tamat tempoh.

Sementara itu katanya, 15 minit kemudian pasukan sama menyerbu sebuah premis lain di bangunan sama di mana sejumlah 128 kotak bir pelbagai jenama bernilai RM15,460 dirampas dari kedai tanpa penjaga tersebut.

“Kedua-dua kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau 10 kali ganda nilai rampasan itu dan antara enam bulan hingga tiga tahun penjara,” jelasnya.