Anda di sini

Memulih hutan melalui kaedah Miyawaki

Advertisement
 Residen Bintulu Jack Aman Luat bersama Nik Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan, Pengarah UPMKB Prof Dr Bujang Kim Huat, Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski (kanan), Mohamad Azani (kiri) dan yang lain bersedia untuk menanam pokok.
BERSEDIA: Residen Bintulu Jack Aman Luat bersama Nik Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan, Pengarah UPMKB Prof Dr Bujang Kim Huat, Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski (kanan), Mohamad Azani (kiri) dan yang lain bersedia untuk menanam pokok.
 Zamri menunjukkan teknik menanam pokok sambil disaksi (dari kiri) Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan, Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski dan Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat.
TUNJUK CARA: Zamri menunjukkan teknik menanam pokok sambil disaksi (dari kiri) Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan, Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski dan Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat.
 Residen Bintulu Jack Aman Luat (tengah) bersama Nik Muhamad dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan menanam pokok.
PROJEK: Residen Bintulu Jack Aman Luat (tengah) bersama Nik Muhamad dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan menanam pokok.
 Nik Muhamad (tiga kanan),Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan (empat kiri), Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski (empat kanan) serta yang lainnya merakam gambar di kawasan pokok yang telah ditanam dan membesar.
BERHASIL: Nik Muhamad (tiga kanan),Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan (empat kiri), Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski (empat kanan) serta yang lainnya merakam gambar di kawasan pokok yang telah ditanam dan membesar.
 (Dari kanan) Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski, Pengarah UPMKB Prof Dr Bujang Kim Huat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan dan Nik Muhamad menanam pokok.
CEPAT MEMBESAR: (Dari kanan) Ketua Pasukan CSR dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski, Pengarah UPMKB Prof Dr Bujang Kim Huat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan dan Nik Muhamad menanam pokok.

DUA puluh lapan tahun lepas, Universiti Putra Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Yokohama  National University (YNU) telah menandatangani perjanjian dengan tajaan Mitsubishi Corporation untuk memulihkan kawasan yang kurang hutan untuk dibentuk menjadi hutan hujan tropika buatan  menerusi penanaman semula secara bercampur spesies pokok hutan asli Borneo.

Profesor (Prof) Dr Akira Miyawaki adalah Prof Emeritus YNU dan telah dianugerah Doktor Kehormat atas sumbangannya untuk hutan dan UPM semasa Konvokesyan UPM tahun 2008.

Asas projek itu berdasarkan kejayaan pemulihan tanah hutan asli di Jepun dan beberapa tinjauan tapak dalam hutan berbeza di negara Asia Tenggara sejak 1978.

Asas saintifik kejayaan projek itu berdasarkan konsep tumbuhan berkait yang diperkenal Miyawaki dan konsep mempercepatkan pertumbuhan semula jadi yang diperkenal oleh Prof Dato Dr Nik Muhamad Majid.

Sejak tahun 1991, sekurang-kurangnya setengah juta anak pokok daripada 130 spesies tempatan Sarawak telah ditanam di kawasan yang kini menjadi ekosistem matang.

Ia merupakan contoh cemerlang kejayaan besar projek pemulihan hutan di kawasan yang kurang hutan. Selain itu program penanaman pokok diadakan setiap tahun melibatkan kakitangan dari UPM dan Mitsubishi Corporation khususnya penduduk setempat.

Pada tahun 2008, sebanyak 27 hektar kawasan penanaman di UPM Serdang, Selangor telah diwujudkan dan sehingga kini sekurang-kurangnya 25,000 anak pokok telah ditanam di kawasan itu.

Projek ini menyumbang peranan besar kepada UPM yang mencapai kedudukan ke-32 dunia pada tahun 2018 dalam ‘Green Metric World University Ranking’ yang mempromosi kelestarian menerusi pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau.

Projek itu telah ditauliah oleh Pertubuhan Pertanian dan Makanan untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) tahun 2014 menerusi buku yang diterbitkan  bertajuk `’Genetic considerations in ecosystem restoration using native tree species’ berdasarkan kepada projek tersebut.

Melalui projek ini, banyak penyelidikan telah dibuat bukan hanya oleh saintis dari Jepun malah pelajar-pelajar siswazah dan prasiswazah UPM selain para pensyarah UPM dari kampus Bintulu dan Serdang.

Antara projek penyelidikan yang dijalankan ialah simpanan karbon dalam hutan dan tanah, tumbesaran dan jumlah pokok, kajian kumpulan anai-anai serta kajian hidupan liar dan flora.

Pusat Asia untuk Penyelidikan Pencemaran Udara (ACAP) yang berpangkalan di Niigata Jepun juga telah mewujudkan tapak penyelidikan di UPM Kampus Bintulu.

Stesen ini adalah satu daripada stesen penyelidikan di kawasan Asia Pasifik yang berperanan memantau kesan hujan asid dan pencemaran udara pada tanah dan ekosistem.

Antara projek penyelidikan yang dimaksudkan ialah dinamik sulfur dalam pemulihan ekosistem hutan dan kesan hujan asid kepada spesies pokok tropika. Keseluruhannya projek itu adalah landasan untuk memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan awam.

Lebih 28 tahun, projek itu melibatkan sekurang-kurang 30,000 penyertaan dalam program penanaman pokok serta mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa termasuk National Geographic Channel.

Landasan ini menyediakan pakar dan saintis untuk membangun dan berkongsi isu pemulihan hutan, cabaran dan penyelesaiannya. Dua persidangan antarabangsa telah  dianjurkan tahun 1991 dan 2011 untuk membincangkan penemuan penyelidikan daripada projek tersebut dan berkongsi berkaitan dengan projek-projek lain.

Nik Muhamad yang juga Ketua Projek UPM-Mitsubishi Felo Penyelidik Utama Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) UPM berkata, pada tahun  1990 Mitsubishi Corporation telah menghubungi pihak UPM Serdang untuk menubuh dan memulakan projek pemulihan hutan.

“Di Malaysia, masalah hutannya banyak diceroboh sehingga banyak yang rosak justeru melalui projek ini kami menggunakan teknik yang telah diuji kaji oleh pihak Yokohama National Universiti, Miyawaki dan kami telah menanam setakat ini beratus ribu pokok di Hutan Simpan Bukit Nyabau dan telah berjaya membuktikan kaedah menanam ini boleh digunakan bukan hanya di kampus tetapi tempat lain,” ujarnya semasa ditemu bual Utusan Borneo, baru-baru ini.

“Itulah tujuan dan harapan kami serta kerajaan Sarawak atau syarikat-syarikat pembalakan diharap mengambil kaedah ini dan bekerjasama dengan kami dan memindahkan ilmu tentang kisah kejayaan kami ini di luar. Kami telah membuat forum di Kuching dua tahun lepas dan ada beberapa syarikat telah menghubungi kami dan dalam proses berbincang dengan kerajaan negeri untuk membawa teknologi ini keluar,” tambahnya.

Sementara itu, salah seorang pensyarah kanan di Fakulti Perhutanan UPM iaitu Prof Madya Dr Mohamad Azani Alias telah membuat program Sarjana dan PhD di Jepun yang merupakan hasil daripada beberapa penyelidikan peringkat Sarjana dan PhD yang dikendalikan di UPM.

Mohamad Azani adalah pakar dan mengkhusus dalam bidang restorasi ekosistem hutan tropika selama 30 tahun.

Nik Mohamad berkata, jumlah spesies pokok yang ditanam di Bintulu adalah 128 dan jumlah anak pokok yang ditanam sejak 1991 adalah lebih 560,000 dengan kawasan projek seluas 50 hektar di hutan simpan Bukit Nyabau.

Beliau yang bekerja untuk projek itu sejak tahun 1990 berkata, projek pemulihan oleh Mitsubishi itu bukan setakat menanam pokok sahaja tetapi membentuk pembangunan keupayaan sumber manusia apabila bermula tahun 1991 pekerja awal yang terlibat dengan projek ini ialah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mereka membuat latihan di situ dan sehingga kini seramai 62 pelatih ini telah mencapai tahap lebih baik terutamanya dalam kerja-kerja pemulihan hutan serta turut mendapat kerja selepas tamat projek. “Projek membabitkan latihan dengan penduduk setempat dan bukan hanya dalam kampus sahaja,” jelasnya.

Menurutnya, pelajar lepasan SPM ini diberi latihan sepanjang program Mitsubishi untuk meningkatkan kemahiran sehingga mereka mampu bekerja dengan agensi-agensi kerajaan yang memerlukan kepakaran mereka antaranya Jabatan Hutan, Jabatan Pertanian, syarikat-syarikat atau syarikat-syarikat perladangan hutan.

Justeru katanya, projek ini tidak hanya berkenaan penanaman pokok tetapi mengangkat kaedah yang dibawa dari Jepun diubah suai mengikut keadaan di Malaysia, contohnya di keliling bangunan Jusco di Ipoh dan Wangsa Maju turut menggunakan teknik Miyawaki ini untuk menghasilkan landskapnya.

“Kalau pergi ke Bangkok, semua Jusco di Bangkok menggunakan teknik sama yang menunjukkan ia bukan sekadar menanam bunga tetapi menanam pokok hutan dan memperlihatkan  kejayaan teknik ini yang dilaksanakan lebih awal di Bintulu,” ujarnya.

Jelasnya, ia tanaman secara rawak menggunakan spesies tempatan dengan kepadatan yang tinggi, diubah suai mengikut keadaan di Malaysia dan apabila dibuat restorasi ia akan memendekkan masa untuk mendapat semula hutan.

“Berbanding dibiarkan kepada alam semula jadi mungkin untuk mendapat hutan semula memakan masa 30 tahun dan belum tentu akan dapat hutan segera.

“Misalnya pokok belian apabila melalui kaedah ini hanya memakan masa 10 tahun untuk berbuah (menghasil biji benih) berbanding perladangan biasa yang mungkin mencapai 25 tahun,” katanya.

Dalam projek tahun 1991 katanya, ada pokok yang ditanam kini telah mencapai ketinggian 30 meter dan bayangkan untuk tempoh 30 tahun ia membesar dari satu meter ke satu meter sehingga mampu menarik kehadiran binatang berbanding sebelumnya yang hanya merupakan tanah luas, kurang hutan dan tanpa binatang.

“Apabila pokok ini membesar semua binatang masuk ke dalam hutan buatan ini dan pokok belian pula buah atau biji benihnya mampu disebar lebih jauh di tapak hutan ini.

“Kami mengenal pasti binatang yang masuk ke dalam hutan ini adalah landak, rusa, 25 spesies burung termasuk juga kera hantu yang sinonim dengan Sarawak dan Sabah yang antara satu-satunya negeri yang ada spesies ini,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya mengesan tujuh kera hantu di hutan tersebut dan telah membuat penandaan satelit untuk memantau pergerakan haiwan tersebut.

Kesimpulannya kata Nik Mohamad, usaha mereka bukan hanya menanam pokok tetapi secara tidak langsung menarik semula binatang-binatang yang mungkin lari apabila hutan tersebut tandus pada tahun 1990. Buktinya, kehadiran rusa dikesan selepas lima tahun penanaman semula pokok dilakukan.

“Turut dikesan ialah kehadiran musang, burung helang yang bersarang dan burung-burung besar atas pokok yang tingginya 32 meter serta kemungkinan juga burung kenyalang akan bersarang di kawasan hutan yang sama atas pokok tinggi pada masa hadapan.

“Tahun ini merupakan fasa keempat projek penanaman pokok dilakukan yang pada asasnya hanya melibatkan pelatih dan bukan kakitangan UPM dan mereka mampu menjadi pakar mengenali pokok sehingga kepada nama saintifik,” katanya.

Mengenai tempoh projek katanya, ia akan berakhir sehingga tahun 2045 namun banyak pendedahan telah dibuat untuk projek ini sehingga ia turut mendapat liputan National Geografic dan pakar negara Jepun sendiri yang hampir setiap tahun datang melihat projek.

“Projek ini bukan sekadar berkenaan tanaman tetapi untuk memberi pendedahan dan kesedaran berkenaan pokok-pokok yang ditanam yang kurang dikenali oleh generasi baharu terutamanya golongan pelajar,” tambahnya.

Ujar Nik Mohamad, ini antara pendedahan yang dibuat termasuk kepada penduduk rumah panjang pada tahun 1995 yang menggalakkan mereka menanam pokok di sempadan kebun mereka dengan menggunakan teknik sama terhadap spesies engkabang untuk mendapatkan buah dan minyaknya.

Dalam pada itu, penolong ketua projek merangkap pensyarah kanan UPMKB Dr Zamri Rosli berkata, projek itu adalah kesinambungan projek UPM Mitsubishi Corporation yang berlangsung selama 28 tahun dan kali ini adalah penanaman pokok yang ke-28.

Katanya, kali ini mereka menanam 3,000 anak pokok pelbagai spesies tempatan seperti engkabang, jantong dan dabai serta kolaborasi ini telah digerakkan antara UPM dan Mitsubishi sekali gus meletakkan kedudukan UPM di tempat ke-38 dunia dalam World Green Metric.

“Penanaman pokok ini mengguna kaedah yang ditemukan oleh Prof Miyawaki dari YNU dan Dr Nik Mohamad dari UPM. Dari segi keberhasilannya, ramai graduan PhD,  Sarjana dan peringkat Bachelor menggunakan kawasan ini sebagai penyelidikan mereka.

“Banyak buku berkaitan projek UPM Mitsubishi turut dihasilkan dan projek ini yang harus diteruskan untuk memastikan pokok-pokok tempatan  di Sarawak kekal tumbuh berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Justeru katanya, meskipun dari segi kaedahnya diperkenalkan oleh UPM dan YNU, UPM berharap pihak di luar universiti dan masyarakat dapat terlibat sama dalam penanaman pokok seumpamanya dan lebih banyak pokok yang ditanam dengan kaedah yang  sama.

  • oleh
  • Advertisement